Label 10

Home » » Waspada Misi Sukarelawan Musim Haji PALSU !!

Waspada Misi Sukarelawan Musim Haji PALSU !!

Written By AAKJ on Thursday, July 4, 2013 | 5:00 PM

TABUNG HAJI



KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi untuk menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah.

TH dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang mahukan kepastian mengenai tawaran menjadi Sukarelawan Musim Haji 1434H anjuran sebuah pertubuhan yang beralamat di Kota Damansara di sini.

“Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan bahawa TH tidak pernah terlibat, melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi untuk menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah atau mana-mana program seumpamanya.

“Siasatan awal TH dan maklumat orang awam mendapati pertubuhan berkenaan mempromosi program tersebut melalui taklimat yang dijalankan di tempat-tempat terpilih di seluruh negara yang turut diuar-uarkan di Facebook,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, TH telah menghubungi pihak kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk pengesahan dan TH dimaklumkan tiada visa dikeluarkan kepada Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah dari Malaysia.

Kata kenyataan itu, salah seorang peserta yang hadir di dalam taklimat misi palsu tersebut mendedahkan misi itu kononnya bertujuan memberi bantuan kepada jemaah haji yang berada di bawah kelolaan TH.

Taklimat yang disampaikan oleh pertubuhan tersebut turut didakwa meminta peserta yang berminat supaya mendaftar dan membuat bayaran sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan berkenaan untuk menyertai misi tersebut.

Jelas kenyataan itu, TH merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menguruskan jemaah haji Malaysia dan mempunyai ramai petugas terlatih dan berpengalaman untuk tujuan itu.

Mereka terdiri daripada anggota-anggota TH, pembimbing ibadah haji yang dilantik oleh TH serta petugas perubatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan.

“Ketika musim haji hanya petugas-petugas ini sahaja yang dibenarkan dan diberi kuasa untuk mengendalikan urusan jemaah haji di bawah pengelolaan dan seliaan TH.

Justeru TH sekali lagi menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau perhubungan dengan mana-mana pihak yang menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434H.

Malah TH tidak pernah membenarkan pihak berkenaan atau mana-mana pihak ketiga menggunakan nama Tabung Haji bagi tujuan aktiviti berkenaan.

Sehubungan itu TH menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan program seumpama itu yang ditawarkan oleh mana-mana individu, pertubuhan, syarikat atau organisasi.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki terdapat unsur-unsur yang mencurigakan terhadap program atau aktiviti yang dianjurkan,” kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-6207 1919. – mynewshub.my
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger