Label 10

Home » , » PRK Kuala Besut : Perlumbaan Merebut Kerusi DUN Kuala Besut Bermula

PRK Kuala Besut : Perlumbaan Merebut Kerusi DUN Kuala Besut Bermula

Written By AAKJ on Friday, July 12, 2013 | 8:00 AM




Seperti diketahui umum, pada hari ini proses penamaan calon untuk PRK DUN Kuala Besut akan berlangsung, dan calon yang disahkan layak bertanding kelak akan mengetahui untung rugi nasib masing-masing pada 24 Julai 2013 nanti.

Setakat ini yang sudah pasti bertanding atas logo BN ialah Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman seorang jurutera berwibawa yang akan membawa bersamanya obor kejayaan PRU-13 dengan segunung keyakinan untuk menambah majoriti kemenangan.

Sementara PAS yang selama hampir dua bulan lalu enggan memperakui ketelusan sistem pilihan raya kendalian SPR pula akan mempertaruhkan seorang kontaktor kelas A iaitu Azlan Yusof dalam percubaan parti itu merampas DUN Kuala Besut.

Selain kedua-duanya itu, ada ura-ura calon Bebas akan muncul jika diambil kira dari gelodak ketidakpuasan hati penyokong PAS yang meragui kesetiaan Azlan yang lebih dikenali sebagai Che Long, kemungkinan ini tidak dapat ditolak.

Riak ke arah itu ada jika diimbas pada pencalonan Che Long itu sendiri kurang diyakini oleh pimpinan utama PAS Pusat yang akhirnya membawa kepada berlakunya lafaz baiah taat pada parti yang pertama kali diadakan secara terbuka.

Keraguan yang timbul itu tidak sedikit kesannya dalam memporakperandakan kepercayaan penyokong PAS terhadap calon mereka meski pun majlis lafaz baiah sudah selesai dilaksanakan beberapa hari lepas.

Selain itu, wujud juga kebarangkalian kehadiran calon dari PKR atau proksinya jika diambil kira kesungguhan PKR Terengganu sebelum ini yang mahu meletakkan calon parti itu sebelum ini.

Pun begitu, soal berapa calon yang akan bertanding, rasanya itu bukan satu persoalan besar kerana fokus seluruh negara akan hanya tertumpu pada calon BN dan PAS, kalau pun wujud calon Bebas ia hanya menambah kemeriahan serta mungkin sekadar bertindak sebagai pengacau undi sahaja.

Yang pastinya sebaik sahaja SPR mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding dalam PRK DUN Kuala Besut, secara automatik bermulalah perlumbaan sengit di mana masing-masing akan berusaha menambat hati pengundi.

Siapa sahaja yang menang atau kalah, wajarlah keputusannya diterima seadanya sebagai sebahagian proses demokrasi dan bukti kematangan semua pihak.

Jika tidak yakin dengan ketelusan proses pengundian kendalian SPR, lebih baik jangan serahkan borang pencalonan, tak gitu.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger