Label 10

Home » , » PRK Kuala Besut: Dua Anak Tempatan Bersaing Rebut Tanggungjawab Jaga Rakyat

PRK Kuala Besut: Dua Anak Tempatan Bersaing Rebut Tanggungjawab Jaga Rakyat

Written By AAKJ on Thursday, July 11, 2013 | 7:00 PM


Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menjadi lebih istimewa kerana pertembungan calon yang melibatkan dua anak tempatan yang berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Kuala Besut.

Barisan Nasional (BN) memilih Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, iaitu jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya, yang sebelum itu pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan menjawat jawatan jurutera daerah.

Pengalaman itu menjadikan anak kepada veteran Umno Besut itu sudah biasa berhadapan dengan masalah masyarakat khasnya penduduk kampung dan pengundi di Kuala Besut.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Tengku Zaihan sebagai muka baharu yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

Tengku Zaihan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) dikatakan mempunyai ciri pemimpin berwibawa dan banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan Kuala Besut ketika berkhidmat sebagai jurutera JPS daerah itu.

Menyifatkan dirinya sebagai orang biasa di sebalik pangkal namanya yang bermula dengan Tengku, anggota Umno Cawangan Seri Seratus itu ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon menyatakan tekad untuk meneruskan tugas yang ditinggalkan bekas wakil rakyat, selain membalas budi pimpinan parti kerana memilihnya.

"Pemilihan ini merupakan satu amanah, satu tanggungjawab, satu keyakinan yang diberi pucuk pimpinan untuk membolehkan saya mencurahkan khidmat kepada penduduk kampung sendiri," katanya.

PAS pula mempertaruhkan ahli perniagaan Azlan Yusuf, 48, yang juga bendahari parti itu di Besut, sebagai calonnya yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long dalam kalangan masyarakat setempat.

Anak tempatan Kuala Besut yang menetap di Kampung Baru di sini itu merupakan calon muka baharu taruhan PAS selepas parti itu gagal menumbangkan BN menerusi calon wanita pada pilihan raya umum lepas.

Pemilihan Azlan, yang banyak menghabiskan masa menguruskan perniagaannya di beberapa kawasan di daerah Besut dan di Kelantan dilihat satu percubaan berani PAS dalam pendekatannya kerana sebelum ini parti itu diuar-uarkan akan meletakkan calon yang berlatarbelakangkan agama.

Walaupun berbeza parti, dua calon itu dilihat meletakkan hala tuju sama dalam pendekatan berkempen iaitu secara sederhana dan berhemah menerusi program keagamaan di surau dan masjid dalam mendekati pengundi.

Program seperti berbuka puasa bersama penduduk dan tazkirah dilihat menjadi pilihan utama kedua-dua parti untuk disesuaikan dengan bulan Ramadan.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan Jumaat ini sebagai hari penamaan calon.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.

Pada pilihan raya yang cukup signifikan itu, BN menetapkan Slogan 'Kuala Besut bertambah Biru' untuk kempen manakala PAS tampil dengan moto '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Terengganu andai PAS berjaya merampas DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil berkenaan.

Selepas pilihan raya umum Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.

Kuala Besut mempunyai kira-kira 22,986 penduduk pada keluasan 41 kilometer persegi, kebanyakan terdiri daripada golongan nelayan.

-- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger