Kementerian Dalam Negeri mengarahkan penggantungan empat anggota polis yang didakwa terbabit dalam kematian seorang tahanan lokap, N. Dharmendran baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melepaskan mana-mana individu yang bertanggungjawab terhadap kematian dalam tahanan, terutamanya jika proses siasatan dilakukan dengan menggunakan kaedah di luar prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan pasukan itu.
“Ya, ia sedang dilakukan,” katanya bagi mengesahkan bahawa empat pegawai polis akan digantung daripada menjalankan tugas.
Awal minggu lalu, polis mendedahkan bahawa empat anggotanya yang terbabit dalam kematian Dharmendran ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan kes itu selesai.
Bagaimanapun langkah itu tetap mencetuskan kemarahan orang ramai apabila wujud gesaan yang menuntut agar tugas mereka digantung serta-merta.
Dalam kejadian pada 21 Mei lalu, Dharmendran, 32, yang ditahan bersama tiga lagi rakannya di lokap Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia setibanya di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sesak nafas.
Bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai perubatan mendapati terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian tahanan tersebut.
Post a Comment