Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli melawat ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Galing dekat sini, lewat petang tadi.
Di pusat pemindahan itu, baginda turut berkenan memasak makan malam untuk mangsa banjir yang ditempatkan di situ sejak semalam ekoran banjir kilat yang melanda bandar ini.
Turut membantu, suami baginda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah dan beberapa sukarelawan termasuk ketua tukang masak Mat Musa Mansor, 36. Tengku Azizah ketika ditemui pemberita bertitah hati baginda tergerak untuk membantu mangsa banjir dengan menyajikan mereka hasil air tangannya sendiri.
"Saya lihat tadi mulanya mereka macam kelam-kabut nak siapkan makanan untuk diagihkan kepada mangsa di sini.
"Jadi, saya ambil keputusan adalah lebih elok kalau saya turut membantu
menyediakan makanan untuk mereka, dan saya puas hati dapat memasak untuk mereka
malam ini," titahnya.
Tengku Azizah memasak kari ayam, gulai sardin, ayam dan ikan goreng serta sayur kobis untuk dihidang kepada kira-kira 200 mangsa banjir, dalam tempoh dua jam.
Baginda dan Tengku Abdullah kemudian berkenan mengagih makanan itu kepada
mangsa banjir, yang dilihat tidak sabar untuk menikmati masakan Tengku Azizah. Mat Musa, yang rumahnya turut ditenggelami air dalam banjir kilat semalam, pula berkata beliau sungguh bertuah kerana dapat memasak bersama Tengku Azizah.
"Saya juga terharu dapat tolong baginda, dan Tengku Puan pada hemat saya
memang handal memasak," katanya.
Mangsa banjir, Azizul Ghazali, 25, pula menyifatkan terdapat hikmah di sebalik musibah banjir yang menimpa dirinya apabila dapat menikmati air tangan Tengku Azizah.
"Memang sedap... Syukur Alhamdulillah... rasa bertuah sangat dapat rasa
makanan yang dimasak sendiri oleh Tengku Puan, baginda memang pandai masak...
secukup rasa," katanya.
Post a Comment