Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh kecewa dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan sokongannya untuk mempertahankan Negara Israel seperti dilaporkan Wall Street Journal (WSJ).
Kekecewaan rakyat Palestin itu disampaikan oleh Ismail Haniyeh kepada Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa, di Kuwait baru-baru ini.
Nasharuddin, yang juga anggota Parlimen Bachok daripada PAS, seperti dilaporkan Bernama berkata Ismail dan rakyat Palestin keliru dan bimbang setelah Anwar membuat kenyataan kepada WSJ bahawa beliau menyokong usaha melindungi keselamatan Israel.
Ismail Haniyeh adalah pemimpin utama kumpulan Hamas di Palestin.
Selepas Hamas berjaya merampas Gaza daripada Fatah pada 14 Jun 2007, beliau telah dipecat oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (pro Amerika Syarikat), walaupun dari segi hakikat Presiden Palestin itu tiada mempunyai kuasa untuk memecat atau membubarkan kabinet Ismail Haniyeh.
Oleh kerana itu Ismail Haniyeh menolak pembubaran dan pemecatan itu kerana tidak termaktub dalam perlembagaan Palestin.
Haniyeh dilantik sebagai Perdana Menteri pada 16 Februari 2006 selepas Hamas menang dalam Pilihan Raya Legislatif Palestin 25 Januari 2006 dan beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 29 Mac 2006.
Namun, sekali lagi, Haniyeh terpaksa meletak jawatan pada 15 Februari 2007 kerana pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah.
Akhirnya, beliau sekali lagi dipilih dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Palestin pada 18 Mac 2007.
Dari kaca mata Israel, Ismail Haniyeh dianggap sebagai tokoh yang berbahaya kerana tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel dan enggan mematuhi syarat Israel supaya meletakkan senjata.
Oleh itu Israel melakukan sekatan ekonomi dengan tidak menyerahkan lebih USD600 juta wang cukai milik sah warga Palestin di Gaza.
Ismail berkata beliau dilantik secara demokrasi oleh warga Palestin, dan Israel tiada hak untuk menekannya, malah katanya peruntukan wang cukai itu adalah hak sah rakyat Palestin dan bukannya daripada Israel.
Sekutu Israel, Amerika Syarikat pula menekan Hamas dengan melabel organisasi itu sebagai organisasi pengganas dan mengarahkan 50 juta dolar tidak dikeluarkan dari bank-bank asing untuk membantu kerajaan Hamas di Palestin.
Pada 1 Disember 2005, ketika Anwar dalam sesi soal jawab program “Masa Depan Demokrasi Muslim’, anjuran National Endowment for Democracy (NED) di New York, beliau tidak setuju Hamas terus mengangkat senjata, tetapi tidak mempertikaikan Israel yang masih terus menerus mengangkat senjata dan membunuh rakyat Palestin.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang aktivis Yahudi, Gershon Baskin, CEO dan pengasas the Israel/Palestine Center for Research and Information (IPCRI).
Sila lihat video di sebelah kanan.
Isu sokongan Anwar kepada Israel mula menjadi kontroversi apabila Wall Street Journal, 26 Jan telah melaporkan kenyataan Anwar yang berkata “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians”
Maksudnya; “Saya menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel, kata Anwar, namun apa yang dia katakan itu tidak bermaksud dia akan membuka hubungan diplomatik dengan negara Israel, satu langkah yang menurutnya bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin”.
Susulan kenyataan di WSJ itu, Anwar sendiri mengeluarkan kenyataan di laman rasminya,anwaribrahimblog pada 28 Jan, menegaskan kehendaknya adalah ‘two state solution’ dalam isu penyelesaian Israel-Palestin.
‘Two state solution’ merupakan gagasan idea yang dilobi oleh badan antarabangsa yang dianggotainya, iaitu International Crisis Group (ICG) yang mengesyorkan agar Israel dan Palestin sama-sama diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah dan berdaulat, di samping mencadangkan agar dunia Islam khususnya negara-negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Israel.
“Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.
“Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai ‘Two-State Solution’.” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika diminta mengulas isu tersebut berkata kenyataan Anwar itu pastinya akan mengundang kecewa rakyat Palestin.
“Jelas sekali mereka amat kecewa mendapati kenyataan (Anwar) sedemikian dibuat.
“Kita tidak bolehlah menggunakan apa yang kita kata kepada khalayak yang berlainan untuk melihat hasil yang berlainan. Kita harus konsisten kerana apa yang kita cakap, walaupun di Bachok atau Jerantut, ia boleh dilaporkan ke seluruh dunia,” kata Perdana Menteri.
Najib berkata Pas pun telah mendesak Anwar supaya menyaman WSJ ataupun memintanya menarik balik dan memberi penjelasan apa yang beliau (Anwar) katakan kepada majalah itu.
tq-aidc
Post a Comment