79 termasuk 22 wanita berjudi ditahan
GEORGE TOWN: Polis menahan 79 orang termasuk 22 wanita yang sedang berjudi di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Far Him berkata serbuan dalam 'Ops Dadu' itu dilakukan selepas pihak polis menjalankan intipan di kawasan berkenaan sejak minggu lalu.
"Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Daerah Barat Daya pada kira-kira jam 1 pagi tadi. "Kesemua yang ditahan merupakan penduduk tempatan yang berusia lingkungan 40 hingga 70 tahun," katanya kepada Bernama.
Lai berkata ketika serbuan dijalankan kesemua mereka sedang leka bermain judi yang melibatkan pertaruhan wang tunai.
"Semasa serbuan itu terdapat juga beberapa orang suspek cuba melarikan diri, namun polis berjaya menahan mereka," katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas wang
pertaruhan berjumlah lebih RM1,538 termasuk pelbagai peralatan perjudian seperti
cip, meja, kerusi dan kalkulator.
- Bernama
Post a Comment