Oleh Sri Zainab Taib
JALAN GAJAH MATI – lebih daripada sebahagian 57 pemilik tanah Seksyen 10, Jalan Gajah Mati di sini, tidak rela tanah mereka “dirampas” kerajaan Pas Kelantan semata-mata untuk pembinaan projek mewah kondominium yang akan dijual dengan harga bermula dari RM400,000 seunit.
Bagi mereka keputusan mungkin berbeza jika tanah mereka dibangunkan untuk kepentingan umum seperti pembinaan hospital, sekolah atau rumah murah rakyat.
Malangnya, kerajaan Pas Kelantan berhasrat untuk membina kondominium mewah untuk memperoleh keuntungan selain mengambil balik tanah daripada pemilik tanah Jalan Gajah Mati itu dengan harga yang murah kerana status tanah mereka adalah status kediaman.
Salah seorang pemilik tanah, Zainab Yusof, 73, berkata beliau tidak akan menjualkan tanah itu untuk projek mewah kerajaan Pas kerana tidak mempunyai kepentingan umum selain alasan tanahnya itu diwarisinya sejak enam keturunannya.
“Mereka suruh saya pindah di Panji, dekat sini sementara projek itu dibuat, tetapi setelah saya pergi tengok rumah yang mereka hendak saya duduk sementara ia akan dijual kepada saya dengan harga RM360,000. Saya peniaga kedai runcit mana saya mampu hendak bayar,” katanya kepada khabar Kota Bharu.
Seorang lagi pemilik tanah itu Lim Wee Kim Ngoah (wanita), 67, berkata tanah yang akan diambil kerajaan itu melibatkan rumah sewanya dan rumah sarang burung Walit dan beliau tidak tahu berapakah kerajaan negeri sanggup bayar kepadanya sebagai pampasan ketika bertemu dengan wakil penduduk 14 Sept lepas.
“Ini perkara yang amat mendukacitakan kepada saya. Saya tidak tahu berapakah mereka sanggup bayar,”katanya.
Bagi seorang lagi pemilik tanah Kuay Teow Ann, 58, pengambilan tanah itu adalah mendukacitakan penduduk kerana beliau sudah mempunyai tanah sendiri di Lorong Gajah Mati.
“Saya sudah lama menetap di sini, dengan kerja perniagaan di sini saya,saya mampu biayai pelajaran anak saya. Jika diambil balik ke mana saya hendak pergi,” katanya.
Lebih menyedihkan lebih 300 penduduk disitu tidak mempunyai tempat berteduh kerana kerajaan Pas tidak menyediakan tempat yang berdekatan.
Tanah tersebut akan dibangunkan dengan sebuah pusat komersial yang lengkap dengan ruang niaga, hotel, kondominium dan kawasan rekreasi pesisir sungai oleh K.D. Howa Sing dan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
–KHABAR KB
Post a Comment