KOTA BHARU - Lebih 1,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan pemuda Umno Kelantan mengadakan bantahan berhubung dakwaan penyelewengan ladang rakyat di hadapan pejabat kerajaan negeri di Kota Darulnaim, Jalan Kota Baharu-Kuala Krai, hari ini.
Perhimpunan secara aman yang berlangsung selama sejam itu bermula pada pukul 9.30 pagi dihadiri oleh Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda Umno Kelantan dan penduduk orang asli di Gua Musang yang kehilangan tanah mereka akibat ladang rakyat.
Pada perhimpunan itu mereka berdiri sambil memegang kain rentang di tepi jalan raya sebelum berarak ke hadapan pintu pagar utama pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim dengan dikawal rapi oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan. Dalam perhimpunan itu mereka melaungkan "Gelombang Merah" sambil memegang kain rentang yang antaranya bertulis 'Berhentilah Nik Aziz; Pas Tipu Rakyat; Ladang Wakil Rakyat; Pade doh weh .. tok wakil Pas kayo doh; Bila nak selesai masalah air, serabut doh weh!!!.' .
Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Saffian kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof.
Pada penyerahan itu berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pengikut demonstrasi dan wakil Pas bertindak kasar namun, insiden itu berjaya dileraikan segera oleh pihak polis.
Anuar, yang juga ketua demonstrasi, berkata penyerahan memorandum kepada kerajaan Pas Kelantan itu bertujuan untuk menuntut keadilan untuk rakyat berikutan wujudnya penyelewengan dalam pengurusan projek berkenaan.
"Dalam memorandum itu kita menuntut empat perkara agar kerajaan negeri memberi maklum balas iaitu senaraikan secara terperinci nama serta status syarikat yang terlibat dalam projek ladang rakyat.
"Yang kedua kerajaan negeri perlu menjelaskan sejauh mana penglibatan bumiputera dalam projek ladang rakyat, ketiga senaraikan bilangan peserta terlibat dalam projek itu dan keempat umumkan laporan kewangan hasil tahunan projek itu dari tahun 2006 hingga 2011," katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Ab Rahman berkata pihaknya bersedia mengadakan rundingan dengan Pemuda Umno untuk membincangkan persoalan penyelewengan yang wujud.
"Kita sudah menjelaskan banyak kali mengenai tiadanya penyelewengan yang berlaku dalam projek ladang rakyat melalui ceramah dan penjelasan dalam media," katanya.
Sementara itu wakil orang asli dari Kuala Betis, Gua Musang, Anuar Panis, berkata beliau datang bersama rakan-rakannya seramai 30 orang untuk meyertai demonstrasi itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.
Katanya orang asli merupakan kaum yang teraniaya kerana banyak projek ladang rakyat telah merampas tanah mereka serta kehilangan punca pendapatan.
"Tanah habis, dulu tak ada pembalakan, saya rasa teraniaya. Minta tolong henti kawasan pembalakan ladang rakyat," katanya.
TQTELANJEBOGELPAS
Post a Comment