Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir seolah-olah memperkecilkan kemampuan dan kebolehan guru Malaysia untuk mengaplikasi alat e-pembelajaran iaitu Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) di sekolah.
Beliau mendakwa kemampuan guru Malaysia untuk menggunakan dan mengajar dengan VLE wajar dipersoalkan berdasarkan pemikiran dan kesanggupan mereka untuk menerima pakai teknologi baharu.
“VLE satu inovasi dan jika dilaksanakan dengan baik akan memperkayakan pengalaman pendidikan murid dan guru yang terdedah kepadanya. Program ini bukan baharu kerana telah digunakan di banyak negara di seluruh dunia termasuk United Kingdom dan Korea Selatan.
“Bagaimanapun persoalan sebenar adakah sekolah dan guru Malaysia bersedia melaksanakannya. Persoalan ini bukan sahaja dari segi kemampuan mereka untuk menggunakan dan mengajar dengan VLE, tetapi juga dari segi pemikiran dan kesanggupan untuk menerima pakai,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Zairil seterusnya mendakwa, masalah yang boleh timbul dengan penggunaan VLE bukan berkenaan aspek teknikal sahaja tetapi sama ada guru bersedia mengubah sepenuhnya pendekatan pengajaran membabitkan soal pedagogi.
Dakwanya, satu laporan di UK menekankan keberkesanan VLE bergantung kepada semangat guru maka teknologi itu tidak akan berguna kecuali para guru Malaysia yakin dan kreatif dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran menggunakan sistem berkenaan.
Justeru beliau menyifatkan pelaksanaan VLE merupakan satu tekanan besar kepada guru Malaysia dan Kementerian Pendidikan perlu memberi latihan yang banyak kepada para guru di negara ini untuk menjayakan pelaksanaan VLE.
Dakwanya, golongan guru bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan pengetahuan teknikal VLE tetapi cara untuk mengubah kaedah pengajaran mereka.
“Saya amat khuatir cita-cita besar Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan persekitaran e-pembelajaran tidak akan diterjemahkan kepada revolusi pendidikan yang diharapkan tetapi berakhir sebagai satu lagi projek gajah putih yang melibatkan kerugian berbilion ringgit,” dakwanya lagi. – mynewshub
Post a Comment