Ketua Whip DAP, Loke Siew Fook membantah subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) dijadikan sebagai subjek wajib di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Beliau mendakwa subjek itu harus diperkenalkan sebagai subjek elektif kerana pendekatan mewajibkan pembelajaran subjek itu di IPT memberi gambaran negatif dalam kalangan pelajar iaitu mereka perlu menduduki subjek tersebut tanpa kerelaan.
“Pemahaman terhadap kepelbagaian tamadun adalah sesuatu yang baik dan seharusnya digalakkan dalam sistem pendidikan negara kita.
“Namun subjek ini harus diperkenalkan sebagai subjek elektif dan bukan subjek wajib. Pendekatan wajib tidak akan menghasilkan unsur pemahaman dan nilai positif seperti diharapkan,” dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.
Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban mendakwa, nilai murni dari sejarah tamadun Islam dan Asia perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat tertiari malah perlu diserap dalam sukatan mata pelajaran di peringkat sekolah menengah melalui subjek Sejarah dan Pengajian Am.
Justeru, dakwanya, pendekatan mewajibkan subjek ini di IPT adalah kurang wajar.
Beliau juga mendakwa ada pihak cuba memutar-belitkan kenyataan Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen berkenaan perkara tersebut sebelum dan memfitnah DAP sebagai menentang agama Islam.
Sehubungan itu beliau mendakwa DAP tidak pernah menentang Islam dan mana-mana agama lain malah mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Dakwanya lagi, pemahaman terhadap kebudayaan dan ketamadunan yang berlainan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan tidak boleh dilaksanakan melalui paksaan.
Oleh itu beliau menyeru Kabinet mengkaji semula keputusan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan subjek Titas di IPT dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.
“Namun, DAP menyokong subjek tersebut diperkenalkan sebagai subjek elektif di IPT,” katanya lagi. – mynewshub.my
+ comments + 2 comments
kami rakyat tidak akan melihat apa yang di janjikan... dan apa pendapatan kamu semua ahli parlimen.... kami akan melihat apa yang kamu buat didalam parlimen dan apa yang kamu lakukan sepanjang berada di parlimen.... tidak perlu hipokrit.. yakni cakap lain buat lain...
Apa saja perancangan yang dibantah dap...bermakna bn perlu percepatkan perlaksanaanya.
Post a Comment