Label 10

Home » , » 2 Pegawai Kanan Petronas Hadapi Tuduhan Rasuah

2 Pegawai Kanan Petronas Hadapi Tuduhan Rasuah

Written By AAKJ on Friday, July 5, 2013 | 5:00 PM



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa dua pegawai kanan Petronas di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 tuduhan rasuah dan mengubah wang secara haram bernilai hampir RM1 juta.

Pengurus Projek (Pipeline Replacement Project) Petronas Carigali, Idris M Shuhud, 47, dituduh melakukan lima kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 membabitkan kesalahan menerima suapan RM403,000.

Tertuduh turut didakwa melakukan empat kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana mengubah wang sebanyak RM385,000 yang diperolehi secara rasuah.

Menurut SPRM, RM375,000 daripada wang suapan itu didakwa bagi tujuan pembelian sebuah rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras di sini manakala RM10,000 lagi digunakan bagi tujuan pengubahsuaian rumah tersebut.

“Bagi kesalahan menerima suapan, tertuduh didakwa menerima antara RM5,000 hingga RM287,500 melalui cek dan pemindahan terus ke akaun peribadinya sepanjang tahun 2007 hingga 2012.

“Kemasukan transaksi yang dipercayai daripada vendor Penaga Orbit Sdn. Bhd. sebagai upah kerana meluluskan dokumen urusan rasmi Petronas,” kata kenyataan itu hari ini.

Kata SPRM, Idris yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan dan mohon dibicarakan serta merayu supaya wang jaminan dikurangkan memandangkan kewangannya agak terhad kerana kesemua akaun bank miliknya telah dibekukan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain menetapkan wang jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh ditahan.

Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFA wang jaminan ditetapkan sebanyak RM15,000 setiap pertuduhan. SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais dan Mohd. Fareez.

Kenyataan itu turut memaklumkan Pengurus Kanan Pengurusan Risiko Pelanggan, Ishak Hashim, 47, menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (1997) melakukan kesalahan rasuah membabitkan kesalahan menerima suapan RM22,800.

Tertuduh yang merupakan Penyelia Operasi Crude Oil Group (COG) Petronas Trading Corporation Sdn. Bhd. ketika kejadian yang didakwa berlaku antara 19 hingga 29 Ogos 2008 bersetuju menerima wang suapan RM11,800 dan RM11,000 daripada Pengarah Syarikat Erision Chem Sdn. Bhd..

Wang itu diperolehi melalui dua transaksi berbeza iaitu melalui pemindahan terus ke akaun miliknya dan satu lagi melalui akaun rakannya yang kemudian dipindahkan ke dalam akaunnya secara berperingkat sebanyak RM5,000 dengan dua kali transaksi dan RM1,800 untuk dirinya sebagai upah untuk pembekalan Natural Gas Liquid (NGL) sebanyak 69 lori ke Syarikat Erision Chem Sdn. Bhd..

Satu lagi pertuduhan membabitkan kesalahan meminta suapan RM200 bagi sebuah lori daripada Pengarah Syarikat Erision Chem Sdn. Bhd. pada 18 September 2008 sebagai upah untuk pembekalan NGL ke syarikat tersebut.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Afifah Mamat manakala tertuduh diwakili peguam bela Jasvinderjit Singh. – mynewshub.my
Share this article :

+ comments + 1 comments

Anonymous
July 6, 2013 at 2:02 PM

gaji puluh ribu pun makan rasuah lagi?

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger