Hubungan pelakon Siti Saleha dengan Sharifah Sofia tetap rapat walaupun cintanya sudah putus dengan adik kepada Sofia iaitu Syed Adney Syed Hussein yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Terengganu.
Saleha, 23, berkata, dia sentiasa berhubung dengan keluarga Sharifah Sofia dan mereka tiada masalah untuk keluar bersama jika ada masa terluang.
“Putus cinta tidak jejaskan hubungan baik saya dengan Sofia, malah kami sering keluar bersama.
“Malah saya juga baik dengan keluarga mereka, mungkin antara saya dan Adney memang sudah tiada jodoh,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Drama Memberku Hawa, di sini, baru-baru ini.
Malah, Siti Saleha dan Sharifah Sofia turut berlakon bersama dalam drama terbitan Kotex itu yang akan disiarkan bermula pada 5 Jun ini di Astro Ria.
Tambah Saleha, dia kini masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya selepas dua tahun hidup solo tanpa cinta.
Sementara itu, Siti Saleha kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Tujuh arahan Raja Mukhriz.
Saleha yang memegang watak seorang lesbian bernama Tina akan mula menjalani penggambaran filem berkenaan di Cameron Highlands, Pahang.
“Watak ini agak mencabar dan pertama kali saya bawa, ketika sesi pembacaan skrip saya dapat rasakan ia sesuatu yang menarik dan akan beri pengalaman pada saya.
“Saya nak keluar dari watak-watak perempuan yang biasa, lemah-lembut dan penuh dengan cinta. Namun saya harap ia tidak menjadi isu pula kerana ia hanya sekadar lakonan semata-mata,” katanya. – mStar Online
Post a Comment