Label 10

Home » » Bumbung Masjid Runtuh !! Menteri Besar Terengganu Arah Siasat Segera !!

Bumbung Masjid Runtuh !! Menteri Besar Terengganu Arah Siasat Segera !!

Written By AAKJ on Thursday, May 23, 2013 | 2:00 PM



Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh malam Isnin lepas.
Ahmad berkata kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan bahan yang kurang bermutu.
Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan ia selamat digunakan.
“Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid di tempat lain,” katanya yang memberi tempoh dua minggu kepada JKR untuk menyerahkan laporan siasatan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertama selepas pilihan raya umum ke-13, Ahmad berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku jika JKR melakukan pemantauan ketat terhadap sesebuah projek.
Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh.
Ahmad yang jelas menunjukkan reaksi kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 itu mahu JKR memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang.
“JKR perlu menyiasat sama ada kejadian itu berpunca akibat kegagalan reka bentuk masjid ataupun penggunaan material bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan…siasatan terhadap pembekal, kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab juga perlu dilakukan dengan rapi.
“Saya juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum Ramadan ini demi keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu,” katanya.
Sementara itu tinjauan Bernama di masjid itu pagi tadi mendapati beberapa kakitangan dari Unit Forensik JKR Kuala Lumpur datang untuk menyiasat punca kejadian di masjid kampung berkenaan. – BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger