KAWASAN Felda Sahabat di Lahad Datu kini dipenuhi dengan ribuan anggota keselamatan, itu belum dicampur dengan kehadiran kereta perisai, helikopter bahkan jet pejuang.
Jika dulu jalan-jalannya hanya dilalui oleh motorsikal, kereta dan lori kelapa sawit, tetapi kini keadaannya berubah sama sekali.
Namun ada satu perkara menarik yang boleh dilihat di penempatan Felda yang menjadi tumpuan seluruh negara ketika ini.
Di balik semua itu, ada satu senario’ yang adakalanya kelihatan lucu bila dikenang kembali.
Kehadiran ‘tentera karpet’ yang nampaknya tidak langsung ‘tergugat’ dengan apa yang sedang berlaku.
Di kawasan Felda ini, terdapat ramai warga Pakistan yang menjual pelbagai barangan terutama karpet kepada pada penghuni di penempatan berkenaan.
Malah jangan terkejut, ada di antara mereka juga mampu menyewa lot kedai di Bandar Cenderawasih yang terletak di pintu masuk ke kawasan Felda berkenaan.
Mereka jadi ‘taukeh besar’ yang menjual barangan runcit dan keperluan warga di situ.
Sebab itu jangan terkejut, di sebalik kehadiran ratusan kenderaan pasukan keselamatan termasuk kereta perisai, kita akan lihat geng-geng Pakistan ini dengan selamba menunggang motorsikal kapcai mereka dengan bungkusan besar karpet yang diikat dibelakang tempat duduk.
Memang lucu!
Wartawan Mynewshub.my sempat menemui salah seorang daripada mereka.
Berasal dari Pakistan, Anwar Hossein berkata, dia dan kawan-kawannya terpaksa meneruskan kehidupan walaupun situasi sekarang ini masih dalam keadaan tidak menentu.
Katanya, dia dan kawan-kawan pada mulanya ‘hairan’ kenapa tiba-tiba penempatan Felda itu dipenuhi pasukan tentera dan polis sedangkan selama ini hanya lori kelapa sawit yang menghuni jalan-jalan di sekitarnya.
” Ada orang bagitahu orang Sulu sudah serang sini, sudah masuk Kampung Tanduo…kami memang terkejut sebab kami pun pernah pergi sampai sana!
” Tapi takpelah, kami tak takut sama Sulu, di kampung kami perang lagi teruk, di sini bom sikit-sikit saja, sana Pakistan hari-hari ada bom, no problemlah bos…,” katanya sambil tersengih.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kehadiran mereka diterima baik oleh masyarakat tempatan malah ada di antara rakan-rakannya yang berkahwin dengan penduduk di situ.
Ditanya, apakah sebab utama mereka terus berada di sini di sebalik ‘musibah’ yang berlaku, Anwar berkata, dia dan kawan-kawannya bersyukur kerana negara ini masih menghormati pendatang seperti mereka hingga menyebabkan mereka sanggup memberi hutang kepada penduduk di sini.
” Kalau ikut takut juga mahu bagi hutang, takut mereka tak bayar…tapi sebab orang Malaysia baik-baik, kami bagi mereka hutang, berapa kali nak bayar pun boleh, RM20 pun sebulan pun kami terima janji kami boleh hidup di sini…bukan macam Pakistan, hari ini gaduh, esok gaduh, hari-hari gaduh,” katanya.
Ditanya mengenai orang Sulu, Anwar berkata, agak sukar untuk membezakan yang mana satu orang tempatan dan yang mana satu pendatang Filipina dari etnik berkenaan.
Katanya, itu tidak penting bagi mereka kerana yang lebih mustahak barangan mereka dapat dijual.
” Muka mereka sama juga bos…saya pun tak tau yang mana Sulu ka, Bajau ka, Bugis ka…saya jual karpet juga
” Bagi saya, siapa yang tak bayar hutang, itulah saya punya musuh, malas mau pening kepala!,” katanya sebelum beredar.
+ comments + 1 comments
Hehehe... Bagus jugak bai karpet ni ek?
http://mycybertrooper.net.ms/
Post a Comment