Seorang mangsa tebusan mendakwa melihat pengganas militan Sulu memiliki sejumlah wang yang banyak sewaktu ditahan baru-baru ini.
Menurut Ajmain Mahmood, pada hari kejadian, dia berada di dalam rumah sebelum mendengar kekecohan di luar.
Katanya, sewaktu dia cuba meninjau apa yang berlaku, sekumpulan kira-kira 50 orang pengganas militan Sulu sudah bertindak menahan ramai penduduk kampung.
” Kebanyakan mereka memakai pakaian seragam tentera, dan separuh daripadanya memiliki senjata api seperti M16.
” Kemudian salah seorang daripada mereka menampar muka saya sebelum mengacah barong (sejenis senjata tajam).
” Selepas itu dia mengeluarkan sebuah beg plastik yang dipenuhi wang ringgit Malaysia dan memberikannya sedikit kepada seorang lagi tebusan untuk membeli beras,” katanya.
Menurut Ajmain, dia juga diarahkan untuk berbuat demikian.
Tambahnya, selepas itu dia dan dua tebusan yang lain menaiki sebuah kereta untuk mencari bekalan beras seperti mana telah yang diarahkan.
Katanya, memandang ramai peniaga menyedari insiden tersebut, kesemuanya membuat keputusan untuk menutup premis mereka lebih awal.
” Semua kedai yang kami pergi tutup…masa inilah saya mengambil keputusan untuk melarikan diri,” jelas Ajmain.
Sebelum itu ketika ditanya mengapa dia ditampar, Ajmain berkata, wakil puak pengganas mengesyakinya membuat laporan kepada pihak polis hingga menyebabkan tiga rakan mereka ditangkap lebih awal.
Mengulas lanjut, Ajmain berkata, pengganas mengunakan bahasa Bajau sewaktu berkomunikasi dengannya.
Ajmain juga menegaskan tidak pernah melihat kelibat kesemua pengganas itu sebelum ini di kampung mereka.
” Terus terang saya katakan, saya sangat trauma mengenai apa yang berlaku..apatah lagi bila mendapat tahu ada anggota polis yang dibunuh dengan kejam oleh pengganas Sulu ini.
Post a Comment