YANGON 2 Okt - Kapal Sinar Bima membawa 500 tan barangan makanan dalam misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) sudah berada di perairan pelabuhan Yangon dan sedang menunggu giliran berlabuh.
Kapal yang berlepas pada 25 September lalu mengambil masa lima hari sebelum tiba di perairan pelabuhan Yangon, tengah malam kelmarin.
Koordinator Logistik KP1M, Noor Azmi Abu Bakar berkata, KP1M ketika ini hanya menunggu kelulusan kastam bagi membolehkan semua barangan dibawa mendapat pelepasan cukai.
Katanya, daripada segi urusan pelabuhan, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah disebabkan kelulusan sudah diperoleh sebelum kapal terbabit berlepas dan pelepasan cukai juga diperoleh disebabkan barangan dibawa bertujuan untuk bantuan kemanusiaan.
"Perbincangan sudah dilakukan dengan Kementerian Hal Ehwal Sempadan Myanmar dan kelulusan akan diperoleh dalam masa terdekat bagi membolehkan semua barangan dipindahkan ke Pelabuhan Sittwe tanpa sebarang cukai.
“Selepas berlabuh nanti, masa yang akan diambil bagi memindahkan semua kontena ke atas dasar pelabuhan ialah 15 jam dan semua barangan dikeluarkan untuk dipindahkan ke atas tongkang.Semua barangan terbabit akan dimuatkan ke dalam tongkang dan dibawa ke Pelabuhan Sittwe dan perjalanan ke sana mengambil masa selama 15 hari,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Duta Besar Malaysia di Myanmar, Dr Ahmad Faisal Muhamad.
Kumpulan utama sukarelawan yang diketuai Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka tiba pada Ahad ini bagi meneruskan misi ke empat kem pelarian di Rakhine.
Noor Azmi berkata, setiap perkembangan dalam pemindahan barangan bantuan itu akan dikemaskini dan buat masa ini semua proses sedang berjalan lancar mengikut perancangan ditetapkan.
Post a Comment