SUASANA di luar pekarangan Institut Tanah dan Ukur Negara, Tanjung Malim, Perak pada pagi itu tampak sibuk berbanding hari biasa. Deretan kenderaan dilihat memenuhi kiri dan kanan jalan.
Di satu sudut kelihatan ratusan penunggang basikal gunung (mountain bike atau MTB) sedang bersiap sedia. Masing-masing seakan-akan tidak sabar menantikan acara Dusun MTB Ride 2012 itu bermula.
Rosmah Osman, 36, tidak terkecuali. Dia dan suaminya, Mohd. Sofee Ariffin, 41, tiba sejak malam tadi dari Pulau Pinang semata-mata tidak mahu terlepas acara itu.
Sebaik siren dibunyikan, Rosmah mengayuh basikal dengan pantas. Sebolehnya dia mahu berada dalam kelompok peserta di hadapan mengharungi cabaran sejauh kira-kira 35 kilometer itu.
Laluan off road
Trek jalan raya sejauh kira-kira 11 kilometer mengelilingi bandar Proton itu tampak mudah baginya. Kesukaran hanya mula dirasai sebaik sahaja memasuki laluan off road di sekitar Dusun Rasau Perdana.
Di situ, dia perlu mengharungi permukaan muka bumi yang lasak dan mencabar merentasi ladang kelapa sawit, dusun buah-buahan, bukit-bukau, anak sungai dan sebagainya.
Dengan kelajuan sekitar 30 hingga 35 kilometer sejam, dia berjaya mengekalkan rentak kayuhan sehingga ke garisan penamat. Lebih membanggakan, namanya diumumkan sebagai juara bagi kategori Terbuka Wanita.
Bercerita tentang kejayaannya, Rosmah dari Kelab Dreamwerkz Extragear berkata, dia membuat persiapan rapi dengan termasuk berkayuh secara berkala tiga kali seminggu di sekitar Balik Pulau, Bukit Bendera dan Sungai Ara.
“Di samping itu, saya juga sering menyertai jambori dan pertandingan basikal gunung yang diadakan hampir setiap bulan di seluruh negara. Faktor itu, membolehkan saya sentiasa cergas dan berstamina,” katanya yang aktif dalam aktiviti basikal gunung sejak lima tahun yang lalu.
Rosmah berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan trek di Dusun MTB Ride 2012 yang disifatkan mencabar serta menguji kemampuan mental dan fizikal peserta.
Ujarnya, selain mengharungi banyak laluan berbukit, peserta juga perlu berhati-hati tatkala melalui laluan berbatu beberapa kilometer sebelum ke garisan penamat.
“Di situ pentingnya pengalaman dan kemahiran mengawal basikal dengan betul. Jika tersilap langkah, buruk padahnya,” jelasnya yang merupakan antara 30 peserta wanita yang menggalas cabaran pada hari itu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, minatnya dalam aktiviti basikal gunung banyak didorong oleh suaminya. Bermula dengan suka-suka, dia kini boleh berbangga dengan pelbagai kejayaan yang dicapai dalam pelbagai jambori dan pertandingan sebelum ini.
Antaranya, menjadi juara BM Jamboree (2009), Jom Kayuh@PTSB (2011), Kulim Expert Race (2012) dan gelaran Ratu Bukit di Jeli MTB Jamboree (2012).
“Setakat ini, saya tidak berhadapan masalah untuk membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan hobi berbasikal gunung.
“Kini, selain saya dan suami, anak-anak juga turut mengikut jejak langkah kami. Anak sulung, Danial Safee, 16, misalnya aktif dalam acara basikal jalan raya,” jelasnya.
Kayuh sambil beramal
Berkonsepkan kayuhan dalam dusun buah-buahan, Dusun MTB Ride 2012 dianjurkan oleh Oval Prima Services dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.
Pengurus Seketariat, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, acara itu disertai kira-kira 600 peserta yang rata-ratanya berasal dari sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Terengganu dan Perak.
“Pertandingan terbahagi kepada empat kategori utama iaitu Terbuka Lelaki, Junior Masters, Veteran dan Terbuka Wanita,” jelasnya.
Tambah Mohd. Sabirin, pihaknya turut mengadakan aktiviti jualan dan cabutan bertuah bagi memeriahkan suasana pertandingan.
Sementara itu, minat mengembara dengan berbasikal mendorong Koh Weng Ken, 31, untuk turut aktif dalam aktiviti basikal gunung sejak empat tahun yang lalu.
Menetap di Ampang, Kuala Lumpur, Weng Ken berkata, dia mula tertarik dengan aktiviti tersebut selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.
“Mula-mula saya hanya berkayuh secara suka-suka di sekitar Hulu Langat, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Kemensah.
“Selepas itu, barulah saya memberanikan diri berkayuh dalam jambori dan pertandingan basikal gunung yang diadakan di seluruh negara,” katanya yang merupakan seorang jurujual.
Disebabkan minat, dia sanggup mengeluarkan belanja lebih RM20,000 untuk mendapatkan basikal jenis Boardman yang digunakannya kini serta pelbagai aksesori berkaitan.
“Pemilihan basikal yang tepat penting bagi melancarkan kayuhan. Basikal jenis ini bukan sahaja ringan dan lasak, malah mempunyai sistem suspensi dan brek yang mampu bertindak balas dalam apa jua permukaan bumi,” ujarnya yang berpengalaman mengembara ke beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura dengan menunggang basikal.
Katanya, cuaca baik sedikit sebanyak membantu kayuhannya pada acara itu yang disifatkan lebih santai dan tidak terlalu ekstrem berbanding aktiviti basikal gunung yang pernah disertai sebelum ini.
“Paling saya tidak dapat lupakan ialah ketika menyertai Taman Negara Green Jamboree 2012 pada Mac lalu membabitkan jarak sejauh kira-kira 60 kilometer.
“Keadaan laluan balak yang berbukit dan berselut akibat hujan lebat menyebabkan ada peserta yang tiba pada pukul 11 malam,” ujarnya.
Biarpun sudah lebih lima dekad, namun kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia itu tetap bersemangat menyudahkan kayuhan sehingga ke garisan penamat.
“Saya tidak memaksa diri, sebaliknya berkayuh mengikut kemampuan,” katanya.
Bercerita tentang hobi baharunya itu, dia mengakui aktiviti berbasikal gunung menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi.
“Saya rasa seronok menyertai acara seperti ini kerana sambil berkayuh saya berpeluang berkenalan dengan rakan baharu yang mempunyai minat yang sama dengan saya.
“Apa yang penting, sambil berkayuh saya berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di sekelilingnya, secara tidak langsung segala tekanan bekerja hilang dalam sekelip mata,” katanya yang berasal dari Sungai Besar, Selangor. -kosmo-
aakj; u all ingat DS Rosmah ke hehe...aakj letak artikel ni kerana story wanita hebat yang bernama ROSMAH ...apalagi DS Rosmah..tanpa kira penat..letih..bantu suami bina negara..d kecam..caci maki..dia move forward..Tahniah Ibu Permata Negara !!
Baca d SINI
Post a Comment