Penyampaian 39,040 kotak makanan yang berupa juadah raya kepada anggota keselamatan dianggap sebagai usaha mulia Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sebagai mengingati jasa mereka.
Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya BAKTI Kepada Pasukan Keselamatan Negara 2012 memberitahu, pertubuhan itu sememangnya sangat prihatin dan merasai denyut nadi golongan tersebut dalam memastikan keamanan negara menjelang hari lebaran.
Malah katanya, sumbangan itu juga dianggap sedikit sebanyak untuk membantu anggota-anggota keselamatan menikmati kemeriahan Syawal walaupun ketika bertugas di perantauan.
“Hasil pengorbanan anggota keselamatan telah membolehkan pemimpin negara membangunkan negara dengan aman, justeru jasa mereka ini perulah kita kenang tambahan lagi di bulan Ramadhan dan Syawal nanti.
“Sumbangan ini juga adalah tanda pengiktirafan BAKTI kepada anggota keselamatan dalam bentuk bungkusan makanan.
“Jadi hari ini BAKTI telah menyediakan kotak juadah raya yang mengandungi rendang daging, sambal ikan bilis, kuah kacang dan nasi himpit bernilai RM370,880 untuk anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada Aidilfitri.
“Daripada jumlah itu, 20,000 diagihkan kepada Polis Diraja Malaysia, 15,000 untuk Angkatan Tentera Malaysia dan 4,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Tambah Rosmah, usaha untuk menyerahkan sumbangan tersebut merupakan aktiviti tradisi BAKTI dimana ia telah melibatkan ahli-ahli pertubuhan itu.
Terdahulu, Rosmah ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Juadah Raya kepada anggota keselamatan negara.
Turut hadir ke majlis itu, mantan Yang Dipertua Bakti, Tun Dr Siti Hasmah selain Timbalan Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Post a Comment