Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas–Gombak Setia) mempersoalkan tindakan seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi di tiga buah syarikat di Selangor menerima elaun dan berbelanja mewah sehingga ratusan ribu ringgit.
Bekas Exco Kerajaan Negeri mendedahkan, individu itu didakwa pergi ke China, Thailand dan Australia membabitkan kos kira-kira RM130,000 pada tahun sama.
“Saya bukan iri hati, hanya fikirkan rakyat. Saya hairan sebab dia asyik ke luar negara saja, seolah-olah tiada kerja di negeri ini.
“Saya cadangkan supaya hadkan bilangan untuk seseorang itu pegang jawatan seperti yang pernah dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang sebelum ini. Jika dia mahu pegang banyak jawatan, kena hadkan elaun diterimanya,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, semalam.
Sebelum itu, Hasan menyelar Dr Abdul Rani Osman (Pas–Meru) mempunyai masalah psikologi kerana mempersoalkan ketidakhadiran beliau pada Majlis Santapan Diraja, malam Isnin lalu dan sesi petang sidang kelmarin.
“Dia ganggu peribadi saya dan tidak mencerminkan kebijaksanaan yang seharusnya dimiliki oleh seorang Adun.
“Saya juga pernah jadi ahli Parlimen. Kadang-kadang menteri tidak menghadiri sidang Parlimen kerana mempunyai beberapa perkara lain yang mendesak. Adakah itu bermakna mereka tidak menghormati Dewan Rakyat?” katanya.
Dalam sidang sama, Hasan berkali-kali diberi peringatan oleh Timbalan Speaker Dewan, Haniza Mohamed Talha supaya tidak membincangkan perkara peribadi.
Beliau mendakwa, pemecatannya daripada Pas adalah kerana berjuang untuk Islam, Melayu dan institusi diraja (IMR).
Dr Shafiee Abu Bakar (PAS-Bangi) kemudian bangun dan mempersoalkan Hasan sumbangan sebagai Exco Selangor sebelum ini dan mendakwa kemungkinan beliau kecewa akibat dipecat.
Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) turut bertanya masa yang diperuntukkan Hasan melibatkan diri dengan orang bukan Islam mengenai dakwaan murtad yang dibuat mereka.
“Saya seorang pakar motivasi, tiada istilah kecewa dalam hidup saya,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan turut mendakwa Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar diangkat sebagai pemimpin dalam membantu pembangunan di negeri itu kerana berdepan dengan pelbagai masalah moral.
“Saya tidak tuju kepada sesiapa pun, cabaran pembangunan bukan bersifat fizikal semata-mata, tetapi moral dan akhlak. Kita perlukan pemimpin yang lengkap seperti itu,” katanya.
Post a Comment