SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, mengekalkan hukuman penjara 60 tahun dan 30 sebatan terhadap kontraktor warga Indonesia yang mengaku salah atas tiga tuduhan merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun sehingga melahirkan seorang anak.
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu sekali gus menolak rayuan lelaki yang juga pendatang tanpa izin itu apabila menolak rayuan difailkan lelaki terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ampang yang menjatuhkan hukuman berkenaan pada 30 Mac lalu.
Noor Azian pada penghakimannya berkata, Hakim Roszianayati Ahmad bertindak mengikut lunas undang-undang ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh.
Beliau berkata, mahkamah juga mengambil kira fakta bahawa mereka pada masa kejadian lelaki itu adalah bapa tiri dan melakukan kesalahan itu sebanyak tiga kali.
“Perbuatan tertuduh seperti harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.
Menurutnya, individu seperti ini sewajarnya dikurung dan dihindarkan daripada masyarakat.
“Saya dapati tiada sebab untuk saya mengubah hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen Ampang. Orang seperti ini tidak boleh berkeliaran. Saya kekalkan hukuman (60 tahun penjara dan 30 sebatan),” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki itu mengaku salah atas tuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya, dekat Ampang pada jam 11 malam, pada 15 Ogos 2009.
Dia turut mengaku salah atas dua lagi tuduhan merogol mangsa sama pada jam 9 pagi, Oktober 2009 dan 12.05 tengah malam, Januari 2010.
Bagi setiap pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan kepada setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan berturut-turut.
Susulan itu, lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu supaya hukuman itu dijalankan secara serentak.
Pada prosiding semalam, lelaki itu selaku perayu tidak diwakili peguam, manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan.
HM 1/11/2011
Post a Comment