KUALA LUMPUR 6 Sept. - Pas hari ini membuat pengakuan bahawa parti itu menolak ideologi dan perjuangan komunis serta menerima hakikat bahawa UMNO memperjuangkan kemerdekaan negara.
Berbeza dengan kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu sebelum ini, Setiausaha Agung parti itu Datuk Mustafa Ali memberitahu sidang akhbar di ibu pejabat Pas di ibu negara hari ini bahawa parti itu tidak menafikan bahawa UMNO memperjuangkan kemerdekaan.
Mustafa berkata, terdapat dua kaedah perjuangan menuntut kemerdekaan iaitu secara konfrontasi menolak British dan cara ”peaceful cooperation” (kerjasama damai) yang dilakukan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.
"Kita nak sebut perjuangan (kemerdekaan) tak bermula dengan penubuhan UMNO.
Pas juga menolak ideologi dan menolak perjuangan komunis. "Perjuangan sudah mula lama sejak Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman (Pahang), Dol Said (Melaka dan Negeri Sembilan), Tok Janggut (Kelantan), dan banyak lagi lain, menentang penjajahan Inggeris,” katanya.
Mustafa berkata, kenyataan hari ini adalah pendirian rasmi Pas selepas meneliti kenyataan Mohamad Sabu di Tasek Gelugor 21 Ogos lepas, menyifatkan Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Bukit Kepong sehingga mengorbankan 25 perajurit dan keluarga mereka pada 1950 sebagai wira atas alasan mangsa yang terkorban adalah polis penjajah British.
Sementara itu Mohamad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, nama Tunku Abdul Rahman dan Onn Jaafar wajar diletakkan sebagai tokoh pejuang kemerdekaan, tetapi tambahnya perlu disertai dengan nama-nama pejuang yang lain.
Mohamad berkata, polis juga sudah memanggilnya untuk memberi kenyataan dua hari lepas berhubung kenyataannya di Tasek Gelugor itu.
Sebelum ini, lebih 500 laporan polis dibuat di seluruh negara oleh pelbagai pihak, terutama bekas anggota pasukan keselamatan negara, yang marah terhadap kenyataan kontroversi oleh Mohamad Sabu yang mendakwa pengganas komunis sebagai hero.
- Bernama
+ comments + 1 comments
Pemikiran aneh sesetengah umat Islam didunia ini semenjak era penjajahan. Semuanya ini berlaku
akibat dari kesilapan cara berfikir dan fahaman...
Itu pasal ada umat Islam yang sanggup berbunuhan sesama sendiri(bom) di negara2 : Afghanistan, Iraq, Pakistan, Mesir, Syria dan Libya.
Musuh2 Islam(Yahudi dan Nasrani) tentu bersorak riang-ria.....Umat Islam saling merasakan pihak mereka yang lebih betul dan pihak lain salah.
Sepatutnya kita semua perlu berfikiran waras, samada dipihak pro-pemerintah dan pembangkang jangan jadi alat kepada ego Yahudi, Nasrani dan Majusi.
Post a Comment