MOHAMED YUSOF menatap gambar yang tersiar dalam Berita Harian 27 Jun yang memaparkan baju T yang ditulis nama Rashid Maidin.
TELUK INTAN 15 Sept. - Adik kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) akan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu daripada mengaitkan nama abangnya Rashid Maidin dalam ceramah politiknya.
Datuk Mohamed Yusof Maidin, 86, berkata, beliau sedang berurusan dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
"Kenyataan yang dikeluarkan Mat Sabu sangat mengguris hati kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Desa, Chenderong Balai di sini hari ini.
Beliau difahamkan terdapat ceramah politik oleh pihak pembangkang yang sering mengaitkan abangnya dan ideologi komunis.
Beliau berkata, Rashid Maidin telah meninggal dunia pada 1 September 2006 dan adalah tidak wajar mengaitkan orang yang tiada semata-mata untuk kepentingan politik.
"PKM telah meletakkan senjata dan mengisytiharkan berdamai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989, ideologi komunis sudah tidak wujud lagi di negara ini dan tidak wajar ditimbulkan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik selama tiga penggal sejak 1974 itu meminta kerajaan bertindak tegas terhadap Mat Sabu kerana menimbulkan isu kontroversi seperti itu.
Sempena sambutan kemerdekaan ke-54 negara dan Hari Malaysia, beliau bersyukur kerana negara ini dapat terus menikmati kemajuan serta perpaduan rakyat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
- Bernama
Post a Comment