ALOR SETAR - Kegiatan tiga pelajar sekolah bersekongkol dengan dua remaja yang gemar mencuri motosikal di depan rumah dan kawasan surau sejak awal tahun ini terbongkar apabila kelima-lima mereka ditahan di kawasan Anak Bukit di sini baru-baru ini.
Dalam operasi sejak 26 Mei lalu itu, polis menemui empat rangka, sebuah enjin dan sepasang rim motosikal.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzman Mohd. Jan memberitahu, siasatan mendapati salah seorang pelajar yang ditahan itu berusia 14 tahun dan disyaki menjadi dalang kegiatan tersebut.
Katanya, kegiatan mereka terbongkar selepas dalangnya diberkas penduduk ketika cuba mencuri motosikal di kawasan Anak Bukit pada pukul 3.15 pagi.
"Polis yang menerima maklumat kemudian telah membuat operasi diketuai oleh Inspektor Mohd. Hafeez Assad Mohd. Saad dan dapat menahan empat lagi rakannya berusia di antara 13 dan 19 tahun.
"Dalam serbuan itu, kita menemui tiga rangka motosikal di kawasan semak, manakala sebuah lagi rangka dan sebuah enjin di dalam tali air," katanya di sini semalam.
ADZMAN menunjukkan enjin dan rangka motosikal yang dirampas daripada lima remaja termasuk tiga pelajar sekolah di Alor Setar semalam.
Post a Comment