KUALA LUMPUR: “Saya terkejut melihat banyak kaca berterbangan selepas terdengar bunyi letupan kuat disusuli gegaran,” kata penghuni Kondominium Hampshire Park, Jalan Ampang, Daniela Semeraro, 42, semalam.
Dia yang tinggal di tingkat 12, segera turun bersama suami untuk menyelamatkan diri.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, satu letupan kuat berlaku pada sebuah unit di tingkat 17 kondominium mewah berkenaan hingga menggegarkan kawasan sekitarnya.
Difahamkan, letupan itu menyebabkan puluhan rumah rosak, malah sebuah hotel yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian turut mengalami kerosakan.
“Saya difahamkan penghuni rumah iaitu seorang lelaki cedera di tangan dan terbakar rambut berikutan letupan itu.
“Selain itu, saya diberitahu mangsa baru pindah ke rumah berkenaan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, punca kejadian tidak dapat dikenal pasti, namun percaya ia berpunca dari letupan gas.
“Beberapa hari sebelum kejadian, terdapat gangguan pada tekanan gas apabila menunjukkan ia semakin rendah,” katanya.
“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan letupan yang kuat petang tadi (semalam),” katanya.
Difahamkan, penghuni rumah berkenaan seorang lelaki warga British berusia 61 tahun melecur 70 peratus badan. Mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court.
Sehingga malam tadi, pasukan bomba dan penyelamat, polis dan ambulans masih menjalankan usaha mengenal pasti punca kejadian dan menyelamatkan penghuni lain yang mungkin cedera.
Post a Comment