Empangan Bengoh, satu projek berpandangan jauh Dua juta pengguna air di Kuching bakal terima manfaat menjelang 2030
Sungai Sarawak merupakan nadi utama bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya yang bukan sekadar menjadi sebahagian dari sistem pengangkutan, tetapi paling utama merupakan pembekal sumber air bersih.
Tetapi tanpa pengurusan yang bijak dan jika tidak mempunyai perancangan yang berpandangan jauh, wujud kemungkinan sumber air mentah itu akan memberi masalah kepada penduduk di ibu negeri dan sekitarnya.
Bagi menghalang kemungkinan ini, pembinaan Empangan Bengoh, terletak kira-kira 40 kilometer dari selatan bandar raya Kuching, merupakan jawapan yang tepat dan ia dijangka akan beroperasi pada 2012.
Menurut Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, empangan yang mempunyai kawasan tadahan seluas 10.21 kilometer persegi itu, dijangka mampu menampung keperluan air bersih untuk hampir dua juta pengguna di sekitar bandaraya Kuching menjelang 2030.
Selain bandar raya Kuching, penduduk di Kota Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Tasik Biru-Lundu-Sematan, Tapah-Beratok-Siburan dan Serian bakal menikmati bekalan air bersih dari Bengoh.
Jelas beliau, kerajaan negeri serius dalam membawa perubahan dalam sektor air khususnya menyediakan bekalan air bersih kepada 90 peratus penduduk Sarawak menjelang 2012 berbanding 80 peratus ketika ini.
Empangan Bengoh di Puncak Borneo, dikatakan mampu membekalkan 130 juta mililiter tambahan air mentah kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang sebelum disalur kepada pengguna sekitar bahagian Kuching.
Projek yang bermula pada 7 Ogos 2007 dengan kos RM310 juta, kini telah siap dan menunggu masa sesuai untuk menakung air, sementara menyediakan penempatan terbaik kepada para penduduk terjejas.
Awang Tengah menjelaskan lagi, penduduk Kuching menggunakan sebanyak 590 juta liter sehari yang dapat menampung keperluan dalam masa terdekat.
Dengan siapnya projek Empangan Bengoh, kerajaan yakin masalah kekurangan bekalan air di seluruh kawasan Kuching akan dapat diatasi berikutan kemampuan empangan itu mencapai pengeluaran air sehingga 2,047 juta liter sehari.
Pembinaan empangan bengoh merupakan projek yang mengambil kira kepentingan rakyat umum
“Harus diingat, rancangan pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanya untuk menggagalkan projek ini. Sekiranya gagal, kita semua akan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal pada masa depan,” jelasnya.
Pembinaan Empangan Bengoh turut melibatkan pemindahan 394 keluarga di kawasan sekitar Empangan Bengoh dari Kampung Semban, Rejoi, Pain Bojong dan Taba Sait.
Pengorbanan penduduk terbabit serta kebijaksanaan kerajaan dalam menghadapi kemungkinan masalah bekalan air bersih dalam tempoh akan datang, wajar mendapat pujian.
Satu kesilapan apabila orang ramai pada masa sekarang memandang remeh isu mendapatkan sumber mencukupi untuk dirawat bekalan air bersih dan masalah yang bakal dihadapi pada masa depan.
Menurut satu sumber, bekalan air dari Sungai Sarawak adalah mencukupi untuk kegunaan populasi penduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya pada tempoh 30 dan 100 tahun yang lepas.
Bagaimanapun, populasi Kuching kini bertambah berkali ganda dan tidak ramai orang menyedari ia tahap bekalan air dari Batu Kitang telah mencapai kestabilan optimum dari aspek kapasiti.
Sungai Bengoh dipilih sebagai lokasi paling sesuai berdasarkan kesesuaian bentuk muka bumi yang terletak di lembah gunung dan bukit.
Dinding empangan itu dibina menggunakan teknik ‘Roller Compacted Concrete’ (RCC) dan empangan setinggi 63.2 meter itu merupakan yang kedua seumpamanya seleps Empangan Kinta di Perak.
Objektif utama pembinaan Empangan Bengoh ialah menyediakan bekalan air dirawat kepada penduduk Kuching dan kawasan sekitarnya dengan kapasiti 144.1 milimeter padu.
Lantas ia akan menyediakan bekalan air yang memadai untuk tempoh tanpa hujan selama dua bulan.
Sumber turut memberitahu permintaan terhadap bekalan air mentah dan dirawat hingga 2030 diunjur mencapai 1,945 juta liter sehari.
Projek bernilai RM250 juta itu dilaksanakan syarikat pembinaan berpangkalan di negeri ini, Naim Holdings Bhd sejak 2009.
Syarikat berkenaan adalah syarikat induk Naim Cendera Sdn Bhd, iaitu kontraktor Bumiputera kelas A, yang terbabit dalam aktiviti pembinaan dan pembangunan harta tanah.
Ia terbabit dalam pembinaan kediaman, bangunan industri dan komersial serta penyediaan infrastruktur dan keperluan asas bagi kawasan dibangunkannya, selain menerima kontrak luar bagi projek pembinaan dan pembangunan infrastruktur serta kejuruteraan awam.
Diterima dari e-mail /tqunspinner
Post a Comment