Selepas tiga desakan sebelum ini memohon adik Menteri Besar, Hajiman Ibrahim ditukarkan daripada jawatan Ketua Kampung Pasir Tuntung, di sini, gagal mendapat reaksi sewajarnya pihak berkuasa, penduduk kampung itu semalam hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Selangor bagi menyerahkan memorandum bantahan.
Wakil penduduk, Idris Darus, 55, berkata, 15 perkara disertakan dalam memorandum terbabit yang memohon pertukaran Hajiman yang didakwa gagal melaksanakan tugasnya sebagai Ketua Kampung.
Beliau menjelaskan permohonan kali ini serius memandangkan sebelum ini aduan lisan tidak berjawab berikutan dianggap tidak relevan atau satu konspirasi selain situasi membabitkan adik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Saya mewakili lebih 100 penduduk melalui petisyen tanda tangan mahu pihak berkuasa mempertimbangkan pertukaran Hajiman kepada individu yang lebih layak dan berwibawa.
“Pelantikan Hajiman sebelum ini bukan atas dasar majoriti penduduk, namun kami akur dengan pelantikannya kerana beranggapan pilihan itu akan membawa pembaharuan dan pembangunan, namun kini sebaliknya pula berlaku,” katanya.
Idris berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Misri Idris dan Pegawai Daerah memaklumkan akan menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.
Beliau berkata, antara sebab lain penduduk bengang dengan kepimpinan Hajiman apabila tiada jawatankuasa penduduk ditubuhkan dan tiada mesyuarat dibuat sepanjang tiga tahun mentadbir kampung. mymetro.
Post a Comment