KEBAL...rumah kongsi buruh asing di Bukit Changgang.
Malah, dengan kawalan keselamatan ketat 24 jam di pintu masuk ke rumah kongsi itu segala aktiviti dan kehidupan harian mereka tidak dapat dihidu orang luar sekali gus mengizinkan mereka melakukan apa saja sesuka hati.
Seorang penduduk tempatan, yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 40, mendakwa lokasi itu seperti zon bebas kepada pendatang asing kerana tiada pemeriksaan pihak berkuasa ke atas warga asing di kawasan berkenaan.
Dia yang pernah berurusan dengan pendatang asing yang mendiami rumah kongsi itu berkata, dianggarkan beratus-ratus warga asing mendiami rumah kongsi berkenaan, termasuk di kalangan wanita yang sebahagian besar menjadi buruh di ladang itu.
“Kebanyakan mereka warga Indonesia manakala yang lain dari Bangladesh dan Pakistan. Memanglah ramai di kalangan mereka mempunyai permit sah, tetapi saya percaya ramai juga di kalangan mereka bekerja secara haram.
“Ini kerana tiada siapa tahu mereka buruh asing bekerja secara sah atau haram, kerana pihak berkuasa tidak melakukan pemeriksaan.
“Malah, bagi mana-mana orang tidak berkenaan memang awal-awal lagi dilarang pengawal keselamatan daripada memasuki kawasan itu,” katanya, sesekali menyebut istilah ‘ada isi’ dan ‘kosong’.
Katanya, dua istilah itu selalu digunakan dalam percakapan harian buruh asing terbabit iaitu merujuk kepada mereka yang ada dan tiada permit.
“Bagi yang tiada permit, mereka tidak takut kerana kawasan berkenaan dikawal rapi dan tidak diserbu pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Metroplus yang menyamar ke lokasi rumah kongsi berkenaan mendapati tempat itu memang agak tersembunyi dan jauh ke dalam dari pos pengawal dan jalan utama ke Bukit Changgang.
Laluan ke kawasan rumah berkenaan hanya separuh berturap manakala selebihnya berkerikil dan berdebu, sekali gus menyukarkan kenderaan seperti kereta, kecuali yang sesuai motosikal, pacuan empat roda dan lori.
Memasuki ke pekarangan rumah kongsi itu, persekitarannya didapati amat tidak terurus dengan parit menjadi mangsa pembuangan sampah manakala dinding rumah comot dengan contengan nakal, lebih teruk dari perkampungan setinggan.
Rumah binaan konkrit itu terbahagi kepada beberapa blok dengan setiap blok mempunyai beberapa unit dengan ruang agak sempit.
Setiap unit ada sebuah bilik tidur manakala bilik air berasingan di bahagian luar, iaitu berkongsi beramai-ramai.
Post a Comment