TASKA Penyayang Mama di Bintulu dipilih sebagai perintis pertama TASKA 1 Malaysia yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat selaras dengan usaha kerajaan yang menfokuskan pendidikan awal kanak-kanak, jelas Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil.
TASKA tersebut (Penyayang Mama), katanya, merupakan satu daripada lima TASKA 1 Malaysia yang bakal diwujudkan di negeri ini di mana lokasi empat buah lagi sedang dikenalpasti yang dijangka akan diwujudkan dalam tempoh enam bulan lagi.
Kelima- lima TASKA 1 Malaysia itu, tambahnya, merupakan sebahagian daripada sepuluh buah TASKA(1 Malaysia) yang akan diwujudkan di seluruh Negara sambil menjelaskan pemilihan TASKA Penyayang Mama yang beroperasi di Taman Chin Lee dekat pusat bandar Bintulu itu berikutan konsep serta penghayatan gagasan Satu Malaysia begitu baik di negeri ini disamping tumpuan atau fokus utama kerajaan untuk memupuk serta mengeratkan integrasi antara kaum di peringkat awal pendidikan kanak- kanak.
Menurut beliau lagi, kementeriannya menerusi JKM, akan memberikan geran penubuhan berjumlah RM90,000 dan geran operasi sebanyak RM72,000 kepada pengusaha TASKA 1 Malaysia sambil menjelaskan TASKA tersebut merupakan penjenamaan semula TASKA Komuniti.
Disamping itu, subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 bagi seorang kanak- kanak juga akan diberikan kepada ibubapa dari keluarga yang berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah di bandar manakala RM1,500 di luar bandar, ujar Ketua Wanita UMNO itu semasa merasmikan TASKA 1 Malaysia, dekat sini.
“Pada Mac 2011, Jabatan Perdana Menteri di bawah program NKEA telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membiayai sebahagian daripada yuran Kursus Asas Asuhan Kanak- Kanak atau KAAK.
“Di mana di bawah insentif 1 Malaysia, kerajaan turut membantu peserta KAAK dengan mengurangkan kadar yuran daripada RM480 kepada RM300 sekaligus mensasarkan seramai 10,000 peserta dapat dilatih melalui kursus tersebut pada tahun ini, ujarnya lagi.
tqsarawak update
Post a Comment