DALAT– Hak umat Kristian untuk berpolitik tidak pernah dinafikan oleh Barisan Nasional, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian itu menepis dakwaan pihak pembangkang yang menuduh BN sekadar mementingkan umat Islam dalam berpolitik.
Menurut beliau, dakwaan pembangkang itu bertujuan untuk menarik perhatian rakyat agar menolak BN terutama dalam situasi sekarang (pilihan raya negeri kesepuluh).
“Saya mahu penganut Kristian negeri ini sedar dengan pendirian BN yang tidak sekali-kali pernah atau cuba mengekang hak mereka untuk berpolitik.
“Andai seseorang Kristian tidak dipilih BN untuk bertanding dalam pilihan raya, bukan bermaksud dia diketepikan. Pembangkang sengaja memainkan sentimen ini,” ujarnya.
Demikian tegas beliau semasa berucap dalam Majlis Berambeh Jegem Ketua Menteri di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) St John, di Kampung Medong, di sini hari ini.
Taib juga mengingatkan penganut Kristian negeri ini agar menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding konon untuk memperjuangkan hak mereka dalam berpolitik.
“Jangan terpengaruh dengan PKR. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) bukan pemimpin yang baik kerana dia cakap tidak serupa bikin. Perbuatan lain, cakap lain.
“Selain itu, PKR dengan Parti Tindakan Demokraktik (DAP) tidak sehaluan dalam menamakan calon seperti dibuktikan dengan kes merebut kawasan Padungan,” jelasnya.
Tambah beliau, warga negeri ini perlu menilai seseorang calon BN bukan sekadar dari luaran kerana pemimpin yang baik tidak dipilih menerusi keelokan rupa.
Turut hadir, isteri beliau Puan Sri Raghad Waleed Kurdi Taib, calon BN DUN Dalat Datin Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad.
TQSARAWAKUPDATE
Post a Comment