Label 10

Home » » Sidang Dun Selangor : Ketua Pembangkang (BN) Tempelak Sandiwara Kerajaan Pakatan Haram

Sidang Dun Selangor : Ketua Pembangkang (BN) Tempelak Sandiwara Kerajaan Pakatan Haram

Written By AAKJ on Monday, July 1, 2013 | 7:10 PM




UCAPAN YB. DATO’ HAJI SHAMSUDIN LIAS

ADUN SG. BURONG MERANGKAP KETUA PEMBANGKANG


Tuan Speaker,


1. Terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan yang mulia ini.



2. Bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, saya ingin mengambil kesempatan ini menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan Selangor yang begitu prihatin kepada masalah kesejahteraan dan keselamatan semua lapisan rakyat di negeri Selangor. Malahan dalam beberapa hal, DYMM Tuanku lebih rasional dan prihatin daripada kepimpinan Kerajaan terutama yang melibatkan hal ehwal agama Islam, kebajikan rakyat golongan berpendapatan rendah dan perpaduan rakyat berbilang kaum.



3. Bagi kami rakyat negeri Selangor, DYMM Tuanku adalah payung kepada kami, dan merupakan kuasa serta pelindung terakhir tempat kami mengadu apabila Kerajaan gagal mengatasi masalah rakyat. Malahan dalam banyak hal, DYMM Tuanku sahajalah tempat kami mengadu dan bergantung apabila Kerajaan yang ada sekarang tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat kerana wujud perbezaan ideologi, keutamaan dan kepentingan parti-parti yang menganggotai Kerajaan Pakatan Pembangkang.
Tuan Speaker,



KEPUTUSAN PRU 13


4. Sebagai sebuah parti yang mendokong keluhuran Perlembagaan Persekutuan, Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan, dan sistem Pilihan Raya bebas yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak kita merdeka, Barisan Nasional menghormati Keputusan PRU 13 yang telah dibuat oleh rakyat khususnya pengundi-pengundi pada 5 Mei 2013. PRU 13 telah memberi kemenangan kepada BN dengan majoriti mudah 133 kerusi, walaupun Pakatan Pembangkang khususnya Ketua Pembangkang merangkap Penasihat Ekonomi Selangor dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang begitu taksub dan yakin bahawa Pakatan Pembangkang dapat mengambil alih Putrajaya. PRU 13 juga telah memberi kemenangan 2/3 majoriti kepada Pakatan Pembangkang di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor walaupun mereka sentiasa mempersoalkan ketelusan serta kewibawaan SPR sejak dahulu lagi melalui tiga demonstrasi Bersih.


5. Barisan Nasional Selangor menghormati keputusan-keputusan di atas walaupun kami kecewa apa yang telah berlaku di Selangor. Nampaknya rakyat Selangor masih mahukan Pakatan Pembangkang memerintah Selangor walaupun banyak terbukti Kerajaan Pakatan Pembangkang yang lalu telah gagal melaksanakan sepenuhnya janji-janji Manifesto PRU 12. Sebagai parti yang bertanggungjawab dan mendokong demokrasi dan ketelusan SPR, saya bagi pihak ADUN-ADUN Barisan Nasional mengucapkan tahniah kepada Pakatan Pembangkang yang telah diberi mandat kali kedua oleh rakyat Selangor untuk meneruskan pemerintahannya. Kami berikrar kepada rakyat Selangor bahawa kami akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab semasa di dalam Dewan atau di luar Dewan.


Tuan Speaker,


PERHIMPUNAN BLACKOUT 505


6. Walaupun begitu, saya ingin membangkitkan satu isu penting di dewan yang mulia ini yang melibatkan keputusan rakyat dalam PRU 13, demi kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam iaitu Perhimpunan BLACKOUT 505, terutama Perhimpunan Haram Blackout 505 pada 22 Jun 2013 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

7. Perhimpunan haram ini dan perhimpunan-perhimpunan sebelumnya dipelopori oleh seorang pakar demonstrasi jalanan sejak zaman pelajar dahulu iaitu Penasihat Ekonomi Selangor rmerangkap Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak dahulu lagi, termasuklah semasa dengan Barisan Nasional. Beliau dan konco-konconya begitu yakin untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU 13. Berangan-angan untuk angkat sumpah pada pagi hari Isnin 26 Mei 2013. berjaya meyakinkan penyokong-penyokongnya termasuk dari luar Negara bahawa INI KALI LAH peluang beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.


· Beliau juga telah merancang lebih awal sebelum PRU 13, Siri-siri demonstrasi dan perhimpunan di seluruh negara dan luar negara jika cita-cita dan nafsu besarnya GAGAL dalam PRU 13. Tetapi TUHAN tidak mengizinkan cita-cita dan nafsu besarnya. Sebagaimana juga Tuhan tidak mengizinkan janji 16 September 2008 dan cita-citanya menggunakan pengikut-pengikutnya dalam Barisan Nasional dahulu untuk menjadi Perdana Menteri. Malahan beliau berjanji untuk meninggalkan arena politik dan menjadi pensyarah di luar Negara jika gagal mengambil Putrajaya dalam PRU 13.

8. Kita sebenarnya tidak terperanjat dengan kekecewaan beliau dan tindakan beliau ketika mempelopori beberapa demontrasi jalanan dan perhimpunan haram terutama demonstrasi 22 Jun 2013. Beliau mendakwa bahawa demonstrasi ini adalah anjuran dan dokongan semua parti-parti dalam Pakatan Pembangkang.


· Tetapi jelas ini satu pembohongan besar. Pengerusi DAP sendiri sentiasa mengingatkan rakyat bahawa DAP tidak terlibat. ITU hanya anjuran Parti Keadilan Rakyat yang dipelopori oleh Ketua Pembangkang. PAS juga berpendirian sama, walaupung salah seorang Naib Presidennya ADUN dari N17 SALOR, KELANTAN yang pro-Ketua Pembangkang dan gagal merampas kerusi Parlimen Putrajaya, membuat fatwa bahawa sesiapa yang gugur dalam demonstrasi Blackout 505 adalah mati syahid.


· Beliau menuduh ahli-ahli parti serta pemimpin-peimimpin parti yang menentang demonstrasi tersebut adalah pengkhianat perjuangan PAS. Mereka bergaduh sesama sendiri sekarang.

9. Demonstasi Blackout 505 terutama Penasihat PKR menuntut tiga (3) perkara penting iaitu;Pertama : Semua ahli SPR hendaklah meletakkan jawatan serta merta.
Kedua : Mengadakan pilihan raya semula bagi 30 kerusi Parlimen yang telah dikenalpasti.

Ketiga : Menangguhkan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya sehinggalah ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan jawatan dan diganti oleh ahli-ahli baru.

Mereka tidak menerima keputusan PRU 13. Yang anehnya ahli-ahli DUN di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor telah mengangkat sumpah dan menubuhkan kerajaan Pakatan Pembangkang di negeri-negeri tersebut termasuklah di Selangor pada 21 Jun 2013 yang lalu. Bukankah ini ‘double standard’ dengan izin Tuan Speaker atau ‘SIKAP HIPOKRIT TERBESAR’ dalam sejarah PRU di Malaysia?
Ahli Parlimen Permatang Pauh juga gagal untuk mempengaruhi ahli-ahli Pakatan Pembangkang supaya memulaukan majlis angkat sumpah. Akhirnya beliau sendiri angkat sumpah. Kalau tidak iktiraf keputusan PRU 13 mengapa angkat sumpah ?


10. Dalam konteks ini, Tuan Speaker, saya ingin mendapatkan jawapan dan penjelasan daripada YAB Menteri Besar dari Pelabuhan Klang mengenai isu-isu ini.
Pertama

Adakah PAKATAN PEMBANGKANG dan Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilantik ini tidak mengiktiraf keputusan PRU 13 diperingkat nasional dan negeri, sedangkan mereka sendiri telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Exco Kerajaan baru-baru ini.Kedua

Jika tidak bersetuju, mengapa angkat sumpah. Jika bersetuju, mengapa bersekongkol dengan demonstrasi haram ini.Ketiga

Adakah benar, seperti yang didakwa oleh YB ADUN N32 Seri Setia, bahawa perhimpunan pada Mei di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya adaah program penerangan anjuran Kerajaan Selangor yang tidak memerlukan permit Polis.


· Jika benar, berapakah perbelanjaan menjayakan program tersebut. Adakah bayaran sewa stadium dikenakan oleh MBPJ. Jika benar, adakah ini satu pengesahan bahawa Pakatan Pembangkang dan Kerajaan negeri Selangor tidak mengiktiraf keputusan PRU 13 yang memberikan 2/3 majoriti kepada Pakatan Pembangkang di Selangor.

Jika tidak benar, mengapa ADUN Seri Setia mengheret Kerajaan negeri dan rakyat Selangor menganjurkan demonstrasi tersebut.
Keempat

Apakah rasional cadangan Kerajaan negeri hendak menubuhkan Suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri Selangor pada PRU 13.
· Cadangan ini merupakan satu publisiti murahan politik. Jika tidak berpuas hati, ikutlah saluran undang-undang. Failkan petisyen di mahkamah.
Kelima

Apakah pendirian sebenar DAP dan PAS Selangor dalam isu ini terutama Perhimpunan Blackout 505, sedangkan kepimpinan utama DAP dan PAS tetap menafikan bahawa DAP dan PAS bukan penganjuran bersama.

· Apakah pandangan YB ADUN N19. Bukit Antarabangsa yang pernah membuat kenyataan tidak setuju tindakan bosnya sendiri mengenai demonstrasi ini. Adakah YB ADUN Bukit Antarabangsa hadir bersama dalam perhimpunan di Stadium MBPJ dan di Padang Merbok pada 22 Jun yang lalu.

· Bagaimanakah pandangan PAS Selangor, khususnya Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Meru. Difahamkan beliau patuh dengan pendirian kepimpinan PAS Pusat dan menasihatkan ahli-ahli PAS Selangor tidak menyertai Demonstrasi Blackout 505 di Padang Merbok. Yang mana hendak ikut arahan Presiden PAS Nasional atau Naib Pesuruhjaya PAS Ahli Parlimen Shah Alam. Nak jadi pengkhianat parti dan mati syahid atau penderhaka kepada Presiden PAS. Atau nak ikut telunjuk Ahli Parlimen Shah Alam.
Keenam

YAB ADUN Pelabuhan Klang dan YB ADUN Bukit Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Malaysia adalah terlibat dalam meluluskan Akta Perhimpunan haram di Parlimen dahulu. Mengapa mereka sendii tidak menghormati dan mendokong Akta yang mereka luluskan sendiri dan bersetuju dengan demonstrasi tersebut yang dianjurkan bertentangan dengan garis panduan dan syarat-syarat Akta tersebut. Bukankah ini mengkhianati amanah rakyat Selangor dan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen?

 Rakyat Selangor menuntut YAB dari Pelabuhan Klang untuk menjawab isu-isu ini kepada rakyat Selangor yang cintakan keamanan negara dipertahankan.


Tuan Speaker,
PERLANTIKAN MENTERI BESAR SELANGOR


11. Saya juga mewakili ADUN-ADUN BN di dalam Dewan yang mulia ini mengucapkan tahniah di atas perlantikan YAB dari Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor. Kami berharap YAB dapat melaksanakan 10 Aku Janji Bersumpah yang dibuat dihadapan DYMM Sultan Selangor semasa majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang juga dilakukan kemudian oleh semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor.
Bukan itu sahaja, malahan YAB adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan banyak janji-janji Manifesto PRU 12 yang belum ditunaikan sepenuhnya dan juga janji-janji Manifesto PRU 13 Pakatan Pembangkang walaupun YAB menganggap MANIFESTO bukan satu janji.
12. Dalam konteks episod perlantikan jawatan Menteri Besar Selangor, saya ingin membangkitkan beberapa isu yang mengelirukan rakyat semasa proses perlantikan Menteri Besar Selangor yang telah menimbulkan spekulasi rakyat.
Pertama

Kenyataan YB ADUN Bukit Antarabangsa yang mempersoalkan kewibawaan dan prestasi YAB ADUN Pelabuhan Klang, dulu ADUN Ijok, semasa menjadi Menteri Besar dalam penggal yang lalu.

· Adakah YB ADUN Bukit Antarabangsa masih yakin dengan kewibawaan YAB dari Pelabuhan Klang selepas mempersoalkan kelemahan beliau ? Katanya kita tak mahu ‘lame duck Menteri Besar,’ dengan izin, Menteri Besar yang lemah. Ikut Telunjuk Orang.

· Sebagai Pengerusi PKR Selangor, mengikut protokol parti sepatutnya YB Bukit Antarabangsa juga layak sebagai calon Menteri Besar Selangor.


Difahamkan YB juga berminat dengan jawatan tersebut. Adakah YB Bukit Antarabangsa, terkilan dan kecewa tidak dipilih sebagai Menteri Besar. Rakyat Selangor tahu bahawa YB Bukit Antarabangsa dan YAB MB tidak sehaluan dalam banyak perkara di masa-masa yang lalu. Adakah YB Bukit Antarabangsa akan memberi sokongan kepada kepimpinan YAB Menteri Besar dalam semua hal atau akan menjadi gunting dalam lipatan ?

Kedua

· Pesuruhjaya PAS Selangor, YB ADUN Meru juga berminat untuk menjadi MB Selangor. Beliau pernah buat kenyataan bahawa beliau bersedia menawarkan diri sebagai MB Selangor jika jawatan tersebut diberikan kepada PAS yang kali ini mendapat lebih kerusi iaitu 15 kerusi di dalam PRU 13 dibandingkan 14 kerusi PKR. Malahan PAS kali ini lebih layak daripada PKR. Timbullah perselisihan pendapat diantara PKR dan PAS dalam isu ini.

· ANEHNYA, apabila peluang diberikan kepada PAS untuk membuat pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor, kepimpinan PAS Pusat hanya mencalonkan ADUN dari Pelabuhan Klang untuk jawatan MB. KENAPA ? Bukankah ini satu peluang yang baik. Difahamkan ramai ahli-ahli akar umbi marah di atas kebaculan PAS Pusat. Mungkin ini juga perasaan Pesuruhjaya PAS Selangor.

· Sebenarnya PAS takut. Tunduk kepada tekanan sahabat-sahabat dari PKR dan DAP. Terutama Penasihat Ekonomi Selangor merangkap Penasihat PKR. Begitulah pendirian PAS di masa-masa yang lalu, termasuklah dalam isu-isu penting yang melibatkan kedudukan agama Islam seperti isu Murtad dan Kalimah Allah. Mungkin kerana kebaculan inilah Pesuruhjaya PAS Selangor dianggap tidak layak jadi Exco Selangor. Takut hendak mempertahankan kedudukan agama Islam.
13. Sekarang telah muktamad, YAB dari Pelabuhan Klang telah jadi MB Selangor. Kita sama-samalah saksikan apa sandiwara yang akan berlaku selepas ini. Harapan kita YAB MB Selangor dapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada anak-anak buahnya sendiri dari Paktan Pembangkang. Apa komen YB ADUN Kota Anggerik dan YB ADUN Seri Andalas yang kali ini digugurkan dari jawatan Exco Selangor.

Tuan Speaker,
PERLANTIKAN AHLI MESYUARAT KERAJAAN (EXCO SELANGOR)


14. Saya ingin juga menyentuh polemik pelantikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menjadi rebutan keluarga PAKATAN PEMBANGKANG. Selepas berlaku berbagai pertentangan pendapat dan cabar-mencabar, akhirnya PAS mendapat 4 kerusi Exco, DAP tiga dan PKR tiga, sementara jawatan Speaker diberikan kepada DAP dan Timbalan Speaker kepada PKR.
Kali ini YAB Menteri Besar lebih berani dari dahulu. Dilantik pula tiga orang ADUN wanita dikalangan orang kuat beliau Gugurlah ADUN Kota Anggerik dan ADUN Seri Andalas yang mirip kepada Pengerusi PKR Negeri. ADUN Bukit Antarabangsa kecewa sekali lagi. Terlepas jawatan MB dan kali ini Exco pula.

· TAHNIAH kepada ADUN Sg. Pinang yang telah dilantik sebagai Exco kali ini. Beliau berikrar, melalui jawatan Exco, hendak pastikan Enakmen Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selangor Legislative Assembly Services Enactment – SELESA) akan diluluskan oleh Dewan pada penggal ini. Pengaruh ADUN Sg. Pinang sangat dominan. Saingannya dalam DAP, mantan ADUN Pandamaran dan ADUN Kinrara sudah tidak ada lagi dalam DUN Selangor.

· Yang menjadi mangsa Pesuruhjaya PAS ADUN Meru. Bukan sahaja cita-citanya hendak jadi MB gagal, jawatan Exco pun terlepas. Saranan saya, buatlah muhasabah diri mengapa buat kali kedua beliau kecundang.Adalah menjadi harapan rakyat Selangor, YAB MB kali ini betul-betul menguasai Exco Selangor. Jangan macam dahulu. Tunduk kepada tekanan-tekanan dan ugutan-ugutan pihak luar, termasuklah Penasihat Ekonomi Selangor.



Tuan Speaker,



JAWATAN PENASIHAT EKONOMI SELANGOR


15. Saya juga ingin mebangkitkan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.
Adakah YAB MB akan meletakkan Ketua Pembangkang sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Apakah rasionalnya jawatan ini diwujudkan pada penggal ini. 


Apakah sumbangan Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor pada penggal yang lalu. Berapakah perbelanjaan pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pada penggal yang lalu yang Sekretariatnya diketuai oleh Pengarah Strategi PKR dengan bayaran RM 30 ribu sebulan. Sekarang beliau menjadi Ahli Parlimen Pandan.

 Yang jelas kepada rakyat Selangor, jawatan ini adalah batu loncatan dan tapak bagi Ketua Pembangkang untuk mendapat berbagai kemudahan dalam aktiviti politik di Selangor dan Malaysia. HANYA MEMBAZIR DUIT RAKYAT SELANGOR. TIDAK PERLU JAWATAN INI DIWUJUDKAN PADA PENGGAL INI.

16. Saya membangkitkan isu-isu ini, Tuan Speaker, kerana isu-isu ini adalah penting dan relevan dalam mempastikan kelicinan, kelancaran dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan negeri seperti yang diharapkan dalam titah ucapan DYMM Sultan Selangor. Rakyat Selangor tidak mahu melihatkan terlalu banyak kecelaruan dan kekeliruan dan ‘politiking’ dalam urusan pentadbiran Kerajaan negeri yang akan menjejaskan kesetabilan dan kepentingan rakyat keseluruhannya.



Tuan Speaker,
INTEGRITI DAN URUSTADBIR KERAJAAN NEGERI
17. Salah satu isu yang selalu dimainkan oleh Pakatan Pembangkang ialah serangan ke atas integriti Kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional diperingkat nasional dan negeri. Dalam konteks ini, Kerajaan Pakatan Pembangkang sebenarnya yang telah diberi mandat buat kali kedua oleh rakyat Selangor tidak terkecuali dari isu integriti dan urustadbirbaik termasuklah janji-janji YAB MB dan Kerajaan negeri Selangor dalam Manifesto PRU 12 sepanjang pemerintahannya selama lima (5) tahun yang lalu. Diantara isu-isu integriti yang belum selesai dan menjadi tandatanya rakyat Selangor adalah seperti berikut :-

· Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di PKNS dan Yayasan Selangor

· Penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan ketidak kecekapan dalam pengurusan industri pasir oleh syarikat Kerajaan negeri – Kumpulan Semesta Sdn Bhd

· Masalah pengurusan Universiti Industri Selangor (UNISEL)

· Penyelewengan pinjaman TALAM Corporation Sdn Bhd RM 39 juta

· Penyelesaian Penstrukturan Industri Air Selangor
18. Rakyat Selangor juga masih menunggu janji-janji lama MB dari Pelabuhan Klang dan Kerajaan negeri mengenai;

· Pelaksanaan Projek Rangsangan Ekonomi Selangor berjumlah RM 50 Bilion terutama Projek Sg. Klang,

Isu pembangunan tanah padang PKNS di Kelana Jaya dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 dan

· Projek Datum Jelatek di Datuk Keramat.

Tuan Speaker,



PKNS – PROJEK DATUM JELATEK



19 Saya juga ingin menyentuh peranan PKNS sebagai agensi utama pembangunan negeri Selangor yang telah terpesong daripada matlamat penubuhannya sebagai pelopor projek-projek sosio-ekonomi negeri. Salah satu projek yang masih menjadi kontroversi rakyat ialah PROJEK DATUM JELATEK di Jalan Jelatek, Taman Keramat.

· Ini merupakan projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah kepada pembangunan bercampur Projek Mega bernilai RM 1 Bilion yang mengandungi 4 blok 674 unit kondominium mewah.

· PKNS telah merobohkan 4 blok rumah pangsa kos rendah didiami 100% Melayu pada 26 Oktober 2011 yang telah dibina pada tahun 70 an untuk memberi laluan kepada projek Datum Jelatek.

· Pampasan ambil balik tanah sebanyak RM 130,000.00 untuk rumah pangsa (2 bilik), RM 166,000.00 (3 bilik) dan RM 155,000.00 untuk rumah kedai (1 bilik) dan RM 197,000.00 ( 2 bilik )
Harga yang paling murah RM 700,000.00 seunit untuk unit studio berukuran 538 kp dengan diskaun 7% kepada bumiputra.

· Harga termahal RM 11.6 juta 4 bilik Penthouse kondominium dengan keluasan 7,222 kaki persegi.

· Untuk membeli unit termurah RM 700,000.00 seunit, bayaran pendahuluan RM 100 ribu, ansuran bulanan bank RM 4 ribu – RM 5 ribu sebulan (tempoh 20 tahun) dan memerlukan gaji RM 20,000.00 sebulan.

· Pemaju utama anak syarikat PKNS – DATUK CORPORATION INTERNATIONAL.

· Pemaju untuk blok A dan C WIRAEMAS (M) Sdn Bhd. Sebuah syarikat dengan modal dibenarkan sebanyak RM 100,000.00 dan modal dibayar RM2.

· Kuota 70% Melayu di kawasan tersebut dibatalkan dan digantikan dengan 50% Melayu dan 50% bukan Melayu.Ejen pemasaran – syarikat Singapura ERA Realty Network Pte. Ltd. Dipasarkan di Singapura pada 2 hingga 4 November 2012 di International Property Expo 2012, MARINA BAY SANDS CONVENTION CENTRE.

· Dipromosikan sebagai CHINESE MAINSTREAM DISTRICT. Dalam prospektus pasaran ada disebut seperti berikut :-

“Datum Jelatek is developed by WIRAMAS HARTANAH (M) Sdn Bhd. This project is the largest we have in Malaysia so far, we are aiming for those Chinese who is willing to invest properties in Malaysia or those who meet certain criteria” Malaysia My Second Home Programme to live in Malaysia, that is why we define it as CHINESE MAINSTREAM DISTRICT in the City Centre”, dengan izin.

· PENGURUS BESAR PKNS dengan bangga mengumumkan bahawa 2 blok A dan C telah dijual kepada pelabur dari negara CHINA, sementara dua blok lagi B dan C ditawarkan kepada pelabur-pelabur dari Singapura dan Indonesia.
20. BARISAN BERTINDAK DATUM JELATEK yang mewakili peduduk-penduduk rumah pangsa Jalan Jelatek bersama 81 Badan NGO telah menghantar memorandum kepada YAB Menteri Besar Selangor dan merayu kepada Kerajaan negeri membatalkan projek DATUK JELATEK dan digantikan dengan Pembangunan Mampu Milik serta Mengekalkan Taman Keramat kawasan Melayu 100%.

· Sampai sekarang, tidak ada jawapan yang memuaskan walaupun sudah banyak majlis dialog diusahakan.



21. APA KATA YAB Menteri Besar Selangor

· Projek tersebut akan menambah nilai harta bumiputra.

· Persoalannya berapa ramaikah orang-orang Melayu mampu membeli kondominium tersebut.

· Kalau membeli unit yang paling murah RM 700,000.00, itupun harga kondominium studio satu bilik sahaja, lebih kecil dari rumah pangsa kos rendah asal. Sedangkan dasar Kerajaan untuk semua lapisan masyarakat ialah rumah pangsa tiga bilik.

KATA YAB MB lagi

· Tanah tersebut bukan Tanah Simpanan Melayu. Kerajaan tidak terikat untuk beri 100% kepada orang Melayu. Mesti dibuka kepada semua bangsa.

22. BANYAK LAGI PERSOALAN YANG BOLEH DIBANGKITKAN

Pertama

Apakah matlamat dan agenda sebenar projek ini.

· Mengapa Datuk Jelatek ? Di kawasan Dewan Undangan Negeri N20 Lembah Jaya dengan majoriti pengundi Melayu seramai 54,28% dalam kawasan Parlimen Ampang dengan majoriti Melayu sebanyak 55.28%.

· Satu kawasan perumahan 100% Melayu yang dibangunkan pada awal tahun 70an semasa Dato’ Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor.

Kedua

Mengapa dasar PKNS untuk kuota Bumiputra sebanyak 70% di kawasan ini dihapuskan

· Malahan dibuka luas kepada pembeli-pembeli dari luar negara.
Ketiga

Mengapa tidak ada rumah mampu milik dan kedai untuk golongan berpendapatan rendah khususnya untuk pemilik-pemilik dan penyewa-penyewa asal di kawasan tersebut

· Harga termurah RM 700,000.00 seunit rumah studio di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

· Pampasan sebanyak RM 130,000.00 – RM 250,000.00 tidak mencukupi untuk membeli seunit studio tersebut.

· Pemilik-pemilik asal 100% Melayu terpaksa keluar daripada kawasan tersebut menjejaskan komposisi pengundi-pengundi Melayu di kawasan DUN Lembah Jaya Parlimen Ampang.

· Zaman Kerajaan BN, orang-orang Melayu berhijrah ke Ampang dan Taman Keramat. Zaman PAKATAN di bawah YAB dari Pelabuhan Klang mereka dipinggirkan atau dengan bahasa lebih kasar dihalau dari Bandar dan digantikan warga luar Negara.

· Apa komen ADUN Bukit Antarabangsa merangkap Ahli Parlimen Gombak mengenai isu ini.
Keempat

PKNS tidak mampu membiayai sepenunya projek mega Datum Jelatek. Terpaksa menjemput pelabur lain untuk usahasama.

· Mengapa ditawarkan kepada pelabur luar negara dari China yang menguasai syarikat usahasama tempatan.

· Diperingkat awal, syarikat tempatan WIRAMAS Hartanah (M) Sdn Bhd yang memajukan Blok A & C hanya mempunyai modal dibenarkan sebanyak RM 100,000.00 dan modal dibayar sebanyak RM 2 sahaja. Tidak adakah syarikat tempatan lebih mantap kewangannya ?

· Bukankah Pakatan Pembangkang selalu mempersoalkan kemampuan syarikat dengan modal bayaran RM 2. Tetapi mengapa dalam mega projek tempatan ini, perkara ini berlaku.
Kelima
Pemasaran projek ini dibuat di luar Negara. Di Singapura oleh ERA Realty Pte Ltd – agen pemasaran hartanah antarabangsa berpusat di Singapura.

· Mengapa mesti dipromosikan sebagai CHINESE MAINSTREAM DISTRICT.

· Matlamatnya jelas. Penguasaan pemilikan hartanah oleh golongan ini dikawasan yang dahulunya didominasi 100% pemilik-pemilik Melayu Bumiputra.

· Di mana sensitiviti YAB Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi PKNS dan YB ADUN Bukit Antarabangsa yang juga Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

· Malangnya inilah yang dimegah-megahkan oleh Pengurus Besar PKNS sendiri.Keenam

· Proses pengambilan tanah oleh Kerajaan Negeri dan PKNS daripada pembeli / pemilik-pemilik rumah pangsa didapati tidak telus dan terdapat banyak perkara yang menimbulkan KERAGUAN serta unsur-unsur PENYALAHGUNAAN KUASA.

· Keluasan keseluruhan tapak daripada DATUM JELATIK ialah lebih kurang 5.8 ekar. Bangunan asal 4 bilik rumah pangsa 4 tingkat, sebuah bazaar dan sebuah petrol stesyen.

· Daripada 484 unit rumah pangsa, sebanyak 60 unit telah dijual kebanyakan di blok 1 dan 2 manakala bakinya disewakan oleh PKNS kebanyakannya di blok 3 dan 4.

· Cadangan awal yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional pada bulan Oktober 1997 dibawah “Rancangan Pembangunan semula Rumah Pangsa Jalan Jelatik Pusat Bandar Taman Keramat.


Status Hak Milik tanah masih dengan nama PKNS. Hak pembeli dibawah perjanjian jual beli dan Deed Of Assignment (Akujanji Penyerahan Hak ). PKNS akan menyerahkan balik hak milik blok kepada kerajaan negeri ( Mewakili Pembeli ) dan pemberi milikan semula dibawah seksyen 197 & 76 KANUN TANAH NEGARA.


Pada bulan April 2002, PKNS tawarkan rumah pangsapuri 12 tingkat (3 bilik tido ). Jenis Kenanga Sari, Kawasan C, jalan 17/56 Ampang Hulu Kelang sebagai TUKARAN rumah pangsa asal, keluasan 686 kaki persegi dengan nilai RM 72,000.00 hingga Rm 75,000.00

· Satu lagi rumah jenis Mawar Sari ( 16 tingkat ) 3 bilik tido dengan keluasan 950 kaki persegi dengan nilai Rm 125,000 dan sekiranya berminat perlu membayar perbezaan Rm 40,000 ~ 50,000.

· Perundingan tidak selesai dan berlarutan sehinggalah pertukaran kerajaan negeri pada PRU 12 (2008)

 · Kerajaan Pakatan pembangkang membatalkan Projek Asal PKNS dibawah BN dan telah bercadang membangunkan projek MEGA DATUM JELATIK bermula pada tahun 2009.

Dibawah rancangan baru tiada skim pertukaran unit ke unit. Hanya ditawarkan pampasan rumah kediaman Rm 250,000 untuk rumah 2 bilik , Rm 300,000 untuk rumah 3 bilik dan rumah kedai RM 450,000 ( 1 bilik ) & Rm 500,000 (2 bilik)

· 46 orang penduduk telah menerima tawaran tersebut manakala 14 orang telah menolak & perundingan dengan PKNS ( Agar menerima tawaran 1 projek baru unit studio 700kaki persegi dengan nilai Rm 350,000 dan unit kedai 625kaki persegi dengan nilai Rm 500,000.

· PKNS buat keputusan AMBIL BALIK TANAH SECARA PAKSA melalui AKTA PENGAMBILAN TANAH DIBAWAH SEKSYEN 3(1)(a) AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 Ke atas lot 7625 (Blok 1) dan lot 7626 (Blok 2) mukin Hulu Kelang Daerah Gombak ( No. Warta Kerajaan : 1578 /28.4.20.

· Perbicaraan diadakan pada 18/04/2011. Keputusan pampasan pada 21/06/2011. Nilai rumah kediaman Rm 130,000 (2 bilik) & Rm 165,000 (2bilik). Kedai Rm 155,000 (1bilik) & Rm 197,000 (2bilik). LEBIH RENDAH DARIPADA TAWARAN ASAL TANPA PROSES PENGAMBILAN BALIK TAMAT.


4 PERSOALAN PENTING
(1) KERAJAAN NEGERI DAN PKNS ZALIM

· Menindas rakyat yang lemah.

· Membelakangkan kepentingan rakyat yang berpendapatan rendah

· Mengutamakan dan mementingkan golongan kaya dari Luar Negara.

· Mana pergi Dasar MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR, HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT? Harapkan pagar , pagar makan padi.

· TIDAKKAH BOLEH disediakan 60 unit rumah mampu milik untuk pembeli-pembeli asal yang ada HAK dibawah undang-undang.



(2) Peruntukan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan balik Tanah 1960.

· Pihak berkuasa Negeri boleh mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi apa-apa maksud awam For Any Public purpose dengan Izin.

· Adakah tujuan pembinaan PROJEK MEGA DATUM JELATIK memenuhi maksud awam. Apa lagi untuk kepentingan pelabur-pelabur Negara luar. Sukacita ADUN Sg. Pinang seorang peguam berpengalaman beri komen.

· YANG JELAS Projek Mega Datum Jelatik adalah eksklusif untuk golongan – golongan kaya dari luar Negara. Sila senaraikan kemudahan-kemudahan awam untuk orang ramai.??

· Walaupun 60 orang pembeli belum lagi mempunyai hak milik berdaftar atas nama mereka, sebenarnya mereka mempunyai Hak dari segi undang-undang melalui Perjanjian Jual beli yang telah ditandatangani diantara PKNS dan pembeli.

· Kerajaan Negeri dan PKNS mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral, “Legal and moral obligation” dengan izin, untuk berunding dan mengambil kira pandangan, rayuan dan masalah yang dihadapi pembeli-pembeli. Mungkin kerana tanah tersebut masih atas nama PKNS dan bukan pembeli , kerajaan Negeri dan PKNS mengambil kesempatan dan kuasa sewenang-wenangnya .Bukankah ini SATU PENYALAHGUNAAN KUASA MELAMPAU dan bertentangan dengan 10 AKU JANJI BERSUMPAH YAB Menteri Besar semasa menerima Tauliah jawatan daripada DYMM Sultan Selangor.

(3) Nilaian pampasan rumah oleh pentadbir tanah biasannya LEBIH RENDAH dari nilai pasaran . RM 130,000 untuk 2 bilik berbanding RM 250,000 harga pampasan tanpa pengambil balik tanah. Perbezaan RM 120,000. Pembeli teraniaya sekali lagi.
Ini menguntungkan kerajaan. Tapi apabila kerajaan beli tanah TALAM Copration , kerajaan gunakan penilaian pihak swasta yang memberikan nilai lebih tinggi daripada Jabatan Penilaian Kerajaan. Dalam Konteks ini yang untung sebenarnya TALAM COPRATION Yang rugi adalah kerajaan kerana terpaksa beli dengan harga tinggi.

(4) Sebaik Sahaja Notis tawaran pampasan diberikan pada 21/06/2011, rumah-rumah tersebut telah dirobohkan pada 26/10/2011. Pembeli-pembeli rumah berkeliaran. PKNS ada menawarkan rumah sementara di Ampang Permai tetapi hendaklah membayar sewa sendiri. Sementara pembeli rumah kedai tidak diberikan sebarang tawaran, Pembeli menolak. Sepatutnya PKNS bayar sewa sementara kepada pembeli-pembeli tesebut. Ini satu lagi kes penindasan dan menyusahkan rakyat.



KETUJUH.

Proses kelulusan perancangan (Arahan pembangunan – Development Order ) oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya Juga didapati tidak telus dan meragukan.

· Mengikut nota pemberitahuan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya, PKNS hanya memohon kebenaran merancang ( Pindaan) bagi pembangunan semula Pusat Bandar Keramat untuk Lot 7677 (Blok 3) , lot 7678 (Blok 4) , Lot 4681 dan LOT 4870 yang melibatkan pembinaan 318 unit pangsapuri , 44 unit kedai mampu milik dan unit Bazar.

· Lot 7675 ( Blok 1) dan Lot 7676 ( Blok 2) tidak dimasukkan.

· Bantahan bermula pada 26/04/2011 dan berakhir pada 10/05/2011.



4 PERSOALAN PENTING.
(1) Sudahkah proses perundangan dan perbicaraan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1996 (Akta 122) seksyen 21 (8) dijalankan sepenuhnya mengikut garis panduaan dan peruntukan-peruntukan didalam Akta tersebut. Apakah keputusan MPAJ mengenai perbicaraan tersebut.

(2) Mengapakah Majlis Perbandaran Ampang Jaya begitu BERAHSIA dan tidak melayan permohonan dan tuntutan daripada pemilik-pemilik asal dan Barisan Bertindak DATUM JELATIK untuk mendapatkan butir-butir terperinci permohonan Perancangan (Development Order) daripada PKNS. Banyak yang mahu disorokkan. Apabila mereka merujuk hak rakyat dibawah Freedom of information (State of Selangor) Enactment 2010, pihak MPAJ tidak bersedia untuk membantu kerana terpaksa merujuk kepada Y.A.B Menteri Besar.

(3) Apakah kedudukan sebenar Development Order oleh PKNS. Sudah lulus atau belum. Tetapi PKNS telah mempromosi dan memasarkan projek tersebut di Singapura. Pengurus Besar PKNS telah membuat pengesahan media bahawa dua buah blok Kondominium ( Blok A dan C ) telah dijual kepada pelabur-pelabur dari China. Kalau belom diluluskan oleh MPAJ , mengapa PKNS berani memasarkan projek tersebut di Singapura dan mengesahkan penjualan Blok A & C.

(4) Adakah kerajaan Negeri, PKNS dan MPAJ bersedia untuk memberi maklumat – maklumat yang dipohon pemilik- pemilik asal rumah pangsapuri tersebut atau Pengerusi Barisan Bertindak DATUM Jelatik jika dibuat dibawah Enacment Freedom of information (State Of Selangor) Enacment 2010. Bukankan enactment tersebut telah menjadi kemegahan kerajaan negeri sebagai satu mekanisma mempastikan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri.
Demi ketelusan pentadbiran kerajaan Negeri saya mohon penjelasan YAB Menteri Besar menjawab persoalan-persoalan di atas.
Tuan Speaker,

23. Saya ingin merujuk kepada surat Pengurus Besar PKNS Bil 22 PKNS/PA/PEN/110JL02 bertarikh 21 Februari 2013 kepada tiga orang pemilik terlibat sebagai jawapan dan penjelasan kepada surat mereka bertarikh 21 Februari 2013. Ada empat isu penting yang dijelaskan oleh pengurus besar PKNS dalam mempertahankan beberapa isu yang selalu ditimbulkan oleh penduduk – penduduk dikawasan yang terlibat.

Pertama
Projek DATUM JELATIK adalah sebenarnya perkongsian Bijak antara PKNS , Kerajaan Negeri Selangor dan penduduk sekitar bagi membaiki mutu hidup rakyat dikawasan Jelatik dan sekitarnya. Projek ini akan meningkatkan nilai hartanah dikawasan tersebut. Mampu memperbaharui bangunan usang dikawasan Bandar selaras dengan projek yang rangsangan ekonomi. Justeru PKNS dapat melaksanakan misi penubuhannya iaiatu Pembangunan Ekonomi demi kebaikan rakyat.

 · Bohong Dan mengelirukan

· Kalau perkongsian Bijak , mengapa pandangan dan bantahan rakyat melalui Memorandum tersebut tidak dilayan. Malahan gunakan kuasa dibawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

· Bina rumah diluar kemampuan rakyat setempat. Dipasarkan khusus untuk pembeli luar Negara di Singapura.

· Memang benar nilai hartanah naik tetapi untuk kepentingan siapa?? Saya cabar Pengurus Besar untuk memberikan senarai bumiputra yang telah membuat permohonan membeli rumah Projek Datum Jelatik.

· Terbukti melalui PROJEK DATUM JELATIK misi PKNS bukan untuk kebaikan rakyat tempatan tetapi untuk kepentingan rakyat luar Negara, Untuk memaksimakan keuntungan diatas tangisan dan kesengsaraan pemilik – pemilik asal dan rakyat setempat.
Kedua.
PKNS mengesahkan bahawa tidak ada satupun unit projek DATUM Jelatik dijual kepada mana-mana pelabur asing termasuk dari Singapura mahupun China. Kerana PKNS belom memperoleh lesen pemaju dan permit (APDL). Expo hartanah of Singapura hanyalah salah satu usaha memperomosikan penjenamaan PKNS sebagai pemaju yang kompetetif.
· BOHONG DAN MEGELIRUKAN.


· Projek ini telah dipromosikan di Singapura pada 2 hingga 4 November 2012 sebagai CHINESS MAINSTREAM DISTRICT untuk warganegara China yang ingin melabur di Malaysia melalui program “Malaysia My Second Home”.

· Malahan Pengurus Besar PKNS seperti laporan majalah Malaysia Business bertarikh 1 Sept 2012, dengan bangganya mengumumkan bahawa dua Blok Kondominium DATUM JELATIK telah dibeli oleh pelabur-pelabur China, Sementara dua lagi Blok sedang ditawarkan kepada pelabur-pelabur dari Singapura dan Indonesia. Mereka bersedia membayar RM 1300 hingga RM 1600 sekaki persegi.

Ini dua dokumen pembohongan Pengurus Besar PKNS . Sila Pengerusi PKNS iaitu YAB Menteri Besar beri penjelasan.

· Jika PKNS belom mendapat lesen Pemaju dan permit iklan mengapa ejen pemasaran Erra Realty buat promosi pemasaran yang begitu agresif. Memberi jaminan dan keyakinan kepada pelabur luar Negara sehingga mereka telah mengesahkan untuk membeli dua blok tersebut. Bukankah ini merupakan satu bentuk penipuan dan “misrepresention”, dengan izin. Dimana Integriti Kerajaan Negeri dan PKNS.??
Ketiga



PKNS memberi jaminan bahawa kepentingan pegangan bumiputra akan dipertahankan selaras dengan hasrat kerajaan negeri . PKNS juga memberi jaminan 50% quota jualan kepada bumiputra dan 10% diskaun kepada bumiputra dipatuhi.
· MERAGUKAN, Janji yang sukar untuk direalisasikan oleh PKNS.

· Berapa ramaikah bumiputra mampu dan mahu beli rumah studio satu unit bernilai RM 700,000 atau lebih RM 2 juta untuk lain-lain kategori.

· Kalau mampu pun hendak beli kondominium tiga bilik, lebih baik beli dikawasan lain di Kuala Lumpur yang lebih murah.

· Jika 50% kuota Bumiputra tidak ambil, berapa lama PKNS boleh pegang – 6 bulan atau 12 bulan. Kalau tidak diambil sudah tentu diserahkan kepada bangsa lain.

· INILAH yang saya katakana JANJI sukar direalisasikan. Jangan cari alasan salahkan bumiputra. Inilah stratergi PUSH FACTOR dengan izin.



Keempat



PKNS komited untuk melantik syarikat-syarikat bumiputra untuk terlibat secara langsung dalam pembinaan Datum Jelatik seperti kerja-kerja hiasan dalaman, jurutera dan arkitek serta pengurusan penyelengaraan bangunan dan lain-lain aktiviti berkaitan pembangunan hartanah. PKNS juga mempunyai program pembangunan usahawan dimana usahawan-usahawan muda akan diberi latihan secukupnya untuk bersedia berniaga diruang-ruang niaga mampu milik yang akan dimajukan oleh Datum Jelatik.
DIRAGUKAN perlaksanaanya kerana pemilik utama Business Mall, Arkitek perunding, dan ejen pemasaran lebih mementingkan keuntungan, dan usahawan bumiputra mungkin tidak dapat bersaing dan dianaktirikan.

· Yang pentig bukan semata-mata penyertaan dalam perniagaan tetapi pemilikan premis-premis perniagaan Datum Jelatik oleh bumiputra.Saya menganggapkan surat pengurus Besar ini hanya bertujuan untuk mengaburi mata rakyat khususnya masyarakat di Taman Keramat.



24. Berdasarkan kepada faktor-faktor di atas, adalah jelas bahawa ada agenda tersurat dan TERSIRAT dalam perancangan dan pembangunan Projek Mega DATUM JELATEK yang dimajukan oleh PKNS – sebuah agensi Kerajaan negeri yang dahulu terkenal sebagai peneraju utama agensi pelaksana Dasar Ekonomi Baru Kerajaan Barisan Nasional khususnya untuk pembangunan sosio-ekonomi Bumiputra.

· YANG TERSURAT. Projek ini telah mengkhianati matlamat penstrukturan semula masyarakat di bawah DEB dengan meminggirkan atau lebih kasar menghalau Melayu-Bumiputra dari kawasan Bandar yang dahulunya didiami oleh Bumiputera.

· YANG TERSIRAT. Projek ini mengubah geo-politik setempat serta usaha untuk memecah dan mengurangkan majoriti pengundi-pengundi Melayu di kawasan tersebut.



25. YAB Menteri Besar dan Pengurus Besar PKNS telah membuat kenyataan bahawa selain daripada Projek Datum Jelatek, terdapat lapan (8) lagi projek-projek mega siri DATUM di kawasan-kawasan seperti ini :-

Nilaian (RM Bilion)

1) Datum Regalia Seksyen 7 Shah Alam -

2) Datum Incity di PJ West 3.0

3) Datum PJ @ Sentrum P.Jaya 1.2

4) Datum Sports City 1.6

5) Datum SACC Pusat Bandar Shah Alam -

6) Datum Bangi 0.538

7) Datum Edu City Sek U5, Subang Bestari -

8) Datum PJ Central Garden City 2.6

----------------------

RM 8.938 Bilion

----------------------

Kesemua sembilan (9) projek Dataran dianggarkan bernilai RM 10 Bilion.

 26. Memang tidak dinafikan kesemua projek Mega siri Datum menambah nilai hartanah PKNS daripada statusnya sekarang. Sekarang masih dalam perancangan. Kejayaannya masih belum terbukti. Banyak masalah dan implikasi sosio-ekonomi, proses perancangan yang tidak telus dan isu geo-politik.

· PKNS memang tidak ada wang sebegitu banyak hendak buat sendiri. Terpaksa pinjam bank atau swastakan. Usahasama dengan syarikat lain. Ada yang secara runding terus, bukan tawaran terbuka.

· Dulu YAB MB kata PKNS hendak buat sendiri. Tidak mahu usahasama. Tak mahu runding terus. Sekarang lebih teruk. Usahasama dengan syarikat luar negara walaupun banyak syarikat tempatan yang mampu. Ada agenda tersendiri. Merugikan rakyat tempatan, terutama bumiputra.



27. Berdasarkan kepada apa yang berlaku dengan projek DATUM JELATEK, banyak persepsi dan spekulasi yang boleh dibuat oleh masyarakat di luar mengikut kepentingan masing-masing. Faktor perniagaan, pelaburan, sosio-ekonomi, geo-politik dan termasuklah kepentingan peribadi. Begitulah yang akan berlaku kepada projek-projek lain dalam siri Mega Projek Datum samada yang dalam pembinaan atau masih dalam perancangan.

· TIDAK MUSTAHIL, ada tangan-tangan ghaib samada dikalangan dalam PKNS, termasuk ahli-ahli Lembaga Pengarah PKNS dari kalangan ahli-ahli politik atau luar PKNS mempunyai agenda tersirat – agenda geopolitik. Tak tahulah samada YAB MB atau YB ADUN Bukit Antarabangsa faham tentang implikasi ini. Jangan sampai harapkan pagar, pagar makan padi.

· Bagi rakyat negeri Selangor, terutama bumiputra, projek-projek ini akan terus meminggirkan penyertaan mereka dalam pemilikan harta dan penyertaan dalam aktiviti perniagaan di projek-projek tersebut yang mementingkan keuntungan maksima. Akhirnya, jurang perbezaan dalam pemilikan harta dan kedudukan ekonomi makin besar diantara bumiputra dan bukan bumiputra. Ini tidak baik untuk masa depan Negara dan perpaduan nasional.

· Justeru, matlamat penyusunan struktur ekonomi dalam konteks DEB yang dahulu dipelopori oleh PKNS akan hancur binasa di tangan PKNS sendiri.

Bagi Pengurus Besar PKNS atau sebahagian pegawai dan kakitangan PKNS pula mempunyai agenda tersendiri. Maksimakan keuntungan. Fokus kepada projek-projek mega. Jual rumah dan kedai mahal-mahal. Persetankan roh Dasar Ekonomi Baru. Lupakan tanggungjawab sosial. Semuanya untuk buat keuntungan seberapa banyak supaya dapat gaji tinggi dan bayar bonus hingga lima enam bulan gaji.



Yang membimbangkan kita, jika projek seperti Datum Jelatik ini tidak dibendung atau diubah bentuk pembangunannya, kerajaan negeri dan PKNS akan meneruskan projek-projek seperti ini dibanyak lagi kawasan rumah pangsa PKNS yang hak miliknya masih dibawah nama PKNS. Kebanyakannya adalah di kawasan majoriti Melayu. Di Ampang, Hulu Kelang, Dato Keramat, Bangi, PJ Selatan, Kelang dan Shah Alam. Kawasan – kawasan majoriti Melayu akan dipecah belah, maka terpinggirlah orang-orang Melayu dari kawasan-kawasan Bandar. MATLAMAT TERSIRAT Ini sangat membahayakan dan menjejaskan perpaduan NASIONAL.



Tuan Speaker,



28. Saya bangkitkan isu PKNS di dewan yang mulia ini adalah untuk menyedarkan YAB Menteri Besar dan Pengurus Besar PKNS yang jahil dan lupa sejarah penubuhan PKNS dan dasar penyusunan semula syarikat-syarikat milik Kerajaan negeri Selangor pada tahun 70an semasa Selangor di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan Allahyarham Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor kelapan. Terdapat empat (4) syarikat milik Kerajaan Selangor yang telah ditubuhkan dengan fokus dan matlamat tersendiri iaitu;

· PKNS – Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor

· Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) kemudian KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad)

· PKPS – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor

· YS – Yayasan Selangor29. PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 dengan focus dan matlamat utama sebagai agensi utama pembangunan sosio-ekonomi negeri Selangor melalui pembangunan bandar-bandar baru, perumahan, perindustrian dan perniagaan.

KPI korporat – pembangunan dan pertumbuhan seimbang bukan untuk memaksimakan keuntungan tetapi buat keuntungan munasabah untuk pelaburan semula dan membolehkan pelaksanaan sekim ‘cross-subsization’ dengan izin. Jika harga pasaran sebuah rumah RM 100,000, PKNS jual setakat RM 80,000 tetapi tetap buat keuntungan.

KPS ditubuhkan pada 11 Ogos 1975 tetapi bermula sebagai Jabatan Pelaburan PKNS. Kemudian diletakkan sebagai anak syarikat Kumpulsn Darul Ehsan Berhad yang ditubuhkan pada 3 Ogos 1985 iaitu syarikat pelaburan utama Kerajaan negeri.

· Fokus KDEB – aktiviti pelaburan dalam berbagai bidang diperingkat nasional dan antarabangsa.

· KPI korporat – berorientasi keuntungan maksima untuk pertumbuhan syarikat dan berdikari dalam pasaran terbuka yang kompetitif. Rakyat tak persoalkan kalau KDEB jual rumah mahal seperti di taman TAR di Hulu Klang.PKPS ditubuhkan pada 2 Jun 1972. Fokus kepada pembangunan pertanian bagi mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi Selangor dalam bidang pertanian.



YAYASAN SELANGOR ditubuhkan pada 5 November 1970. Fokus untuk pembangunan pendidikan di negeri Selangor terutama dikalangan pelajar-pelajar luar bandar.



30. Keempat-empat syarikat tersebut hendaklah mempunyai program pelaburan masing-masing mengikut kekuatan dan kepakaran mereka dalam bidang-bidang tertentu. Hendaklah membuat keuntungan untuk membiayai aktiviti sosio-ekonomi yang telah diamanahkan kepada mereka dengan SYARAT tidak melencong dari matlamat penubuhannya.



31. Dalam konteks PKNS, saya bersetuju PKNS hendaklah terlibat secara agresif dalam pelaburan hartanah berprofail tinggi (projek mega), tetapi janganlah terlalu mementingkan dan memaksimakan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan sama sekali agenda sosio-ekonomi rakyat terutama agenda pembangunan ekonomi bumiputra yang menjadi salah satu matlamat aktiviti PKNS. Ini yang rakyat marah dan tidak berpuas hati.

Saya ingin mengingatkan YAB Menteri Besar dan Kerajaan negeri bahawa agenda ekonomi bumiputra adalah agenda nasional sebagai asas pencapaian matlmat perpaduan nasional selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini juga merupakan AKU JANJI KELIMA semasa YAB Menteri Besar mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 14 Mei 2013 lalu untuk memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan pada masa sama kepentingan sah kaum-kaum lain di Selangor.



Justeru kerana itu, saya mendesak supaya Kerajaan negeri dan PKNS menimbangkan dengan sewajarnya memorandum daripada BARISAN BERTINDAK DATUM JELATEK dan meneruskan perbincangan dengan mereka untuk mencapai satu penyelesaian yang baik untuk kepentingan kedua-dua pihak.



Tuan Speaker,



PENUTUP



32. ERA pasca PRU 14 adalah sangat mencabar terutama bagi negeri Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia yang sedang melalui proses urbanisasi yang sangat pesat. CABARAN MENGURUSKAN KEJAYAAN yang sebenarnya diasaskan oleh Barisan Nasional sejak lima puluh tahun dahulu. Walaupun pemerintahan Kerajaan Selangor telah berpindah kepada Pakatan Pembangkang sejak PRU 13, kita mestilah mengakui realiti sejarah bahawa Kerajaan Pakatan Pembangkang hari ini telah mewarisi sebuah negeri yang mantap kedudukan ekonomi dan kewangannya, rakyat berbilang kaum yang bersatu padu dan hidup harmoni, kedudukan politik yang stabil dan sistem pentadbiran negeri yang mantap. 



Jagalah baik-baik warisan ini dan buatlah penambahbaikan dan perubahan untuk kepentingan rakyat Selangor seperti yang diharapkan oleh titah ucapan DYMM Sultan Selangor.



33. Sekali lagi saya tegaskan bahawa CABARAN TERBESAR KITA dalam era pasca PRU 14 dan dekad-dekad akan datang ialah CABARAN MENGURUSKAN KEJAYAAN yang telah diasaskan oleh Kerajaan Barisan Nasional dan sekarang diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Pembangkang. insya Allah dalam PRU 15, kita akan bekerja keras untuk mengambil balik pemerintahan negeri Selangor bagi meneruskan kejayaan ini dengan lebih CEMERLANG LAGI.



34. Menyedari dan menginsafi bahawa kejayaan Selangor pasca PRU 14 menuntut kerjasama dan dokongan semua lapisan rakyat serta jentera Kerajaan dan pihak swasta, dan yang paling penting kepimpinan politik dari semua pihak, saya ingin memberi jaminan di dewan yang mulia ini bahawa Barisan Nasional, sebagai sebuah parti pembangkang yang bertanggungjawab akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Selangor sekarang selagi mereka meletakkan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama kerajaan. Ini menjadi falsafah perjuangan kami kerana apa yang Selangor capai sekarang adalah hasil perjuangan dan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional sejak 50 tahun lalu dengan kerjasama dan dokongan rakyat Selangor berbilang kaum.

Dengan harapan inilah, Tuan Speaker, saya mengakhiri ucapan saya dalam perbahasan menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor di dalam Dewan yang mulia ini.
Share this article :

+ comments + 3 comments

Anonymous
July 1, 2013 at 11:32 PM

Cayalah YB BN...ambo sokong
Harap tuan AAKJ dpt menyiarkan jwpn MB ( jika ada.... Hehehe).
MB ada brannnni???

Anonymous
July 2, 2013 at 2:10 AM

byk isu penting.. biar org melayu tau.. elok teks ni dibuat edaran rumah ke rumah atau diedar di masjid... tak semua org baca internet..

ini agak panjang bila kat rumah jadi lebih santai atau masuk dlm utusan.... dah masuk ke belum dlm utusan ni???

Anonymous
July 2, 2013 at 2:14 AM

kes kandang babi dulu..fitnah Datok Khir.. org pakatan photocopy dan buat edaran kat masjid kat rumah. itu fitnah.

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger