Dalam kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengenai Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut, dia menganggap pertembungan di antara PAS dan UMNO kali ini bagaikan pertembungan di antara yang “haq” dan yang “batil”.
Katanya, proses yang berlaku di PRK Kuala Besut itu adalah sama dengan pergolakan yang berlaku di Mesir dan Syria di mana hanya “yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati sahaja yang mampu menggapai baton kemenangan”.
Nik Aziz menegaskan bahawa hanya “Furqan” (Al-Quran) saja yang akan menjadi pengukur yang jelas dan nyata dalam pertembungan tersebut.
“Di garisan yang terakhir, hanya perjuangan yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati sahaja yang mampu menggapai baton kemenangan!,” – Nik Aziz Nik Mat, 12 Julai 2013.
Dalam kenyataan Nik Aziz itu, saya hanya bersetuju satu perkara saja iaitu “hanya yang benar di sisi syariat dan ikhlas di hati saja” yang mampu menang pada PRK DUN Kuala Besut itu. Kenyataannya yang lain hanyalah retorik politik sahaja bunyinya.
Saya tertanya-tanya, siapakah yang dimaksudkan Nik Aziz sebagai “haq” dan siapa pula yang “batil”?
PRK kali ini hanya ditandingi oleh UMNO dan PAS. Saya yakin, Nik Aziz tidak sesekali akan membayangkan PAS sebagai mewakili yang “batil”. Jadi, siapa lagi yang dimaksudkan Nik Aziz sebagai yang “batil” kalau bukan UMNO, bukan?
Dalam ertikata lain, Nik Aziz cuba meletakkan imej buruk pada UMNO kali ini dengan menyamakannya dengan sifat “batil”. Kononnya, PAS mewakili yang “haq”? Betulkah begitu? Anda setuju dengan Nik Aziz?
Terus terang saya katakan, Nik Aziz tidak berhak menghukum siapa yang haq dan siapa yang batil dalam soal ini. Allah SWT lebih berhak untuk menentukan siapa yang haq dan batil. Siapa Nik Aziz untuk tentukan soal ini? Dia cuba menjadi Tuhan, kah?
Rasanya Nik Aziz boleh rujuk kembali pada Al-Furqan yang menjadi sumber utama akhlak dan pertimbangan umat Islam sebelum menghukum mana-mana pihak, sama ada PAS mahupun UMNO.
Dan saya yakin, berdasarkan Al-Quran, Nik Aziz akan sedar bahawa hanya yang benar di sisi syariat dan ikhlas di hati saja yang berhak disifatkan sebagai yang HAQ, sebagaimana yang dia katakan di akhir kenyataannya itu.
Namun sebelum kemenangan dicapai oleh mana-mana pihak, tidak wajarlah Nik Aziz melabelkan UMNO sebagai “batil”, bukan? Apakah PAS itu terlalu “haq” dan benar sangat di sisi Islam, Allah dan RasulNya?
Sekiranya kemenangan pada PRK Kuala Besut kali ini berpihak pada PAS, saya yakin bahawa Nik Aziz akan mencanang ke seluruh dunia mengatakan PAS itu adalah “haq” dan benar. Manakala UMNO itu batil, bukan?
Bagaimana jika UMNO yang menang? Apakah Nik Aziz berani mengeluarkan kenyataan bahawa PAS itu batil dan UMNO itu haq? Saya hemat saya, sampai dimasukkan ke liang lahad sekali pun dia takkan berbuat demikian…
Begitulah sifat Nik Aziz dalam usaha memenangkan PAS. Tak kira sama ada wajar atau tidak disisi Islam, dia pakai “langgar” saja asalkan PAS menang. Saya suka mengingatkan Nik Aziz bahawa “matlamat tidak menghalalkan cara”. Islam larang muamalah bersifat begitu.
Seandainya UMNO berjaya mempertahankan kemenangan di PRK DUN Kuala Besut kali ini, saya yakin SPR dan BN akan sekali lagi dilabel sebagai penipu dan tidak telus. Mungkin dia akan curi ayat Anwar Ibrahim, “UMNO curi kemenangan PAS di Kuala Besut”.
Ketika itu, Furqan tidak lagi dirujuk Nik Aziz. Ketika itu ayat “hanya perjuangan yang benar di sisi syariat dan ikhlas di benak hati” saja yang akan menang di PRK Kuala Besut tidak akan terbit dari mulutnya, bukan?
Cukup-cukuplah mengelirukan umat Islam di negara ini. Kami sudah muak dengan fatwa-fatwa memperdagangkan Islam untuk mendapatkan kuasa politik di Malaysia. Tolonglah insaf sebelum bertemu Maha Pencipta…
Post a Comment