Label 10

Home » » Polis Tahan Suspek Bunuh Di Singapura

Polis Tahan Suspek Bunuh Di Singapura

Written By AAKJ on Saturday, July 13, 2013 | 1:00 PM



Seorang lelaki yang amat dikehendaki di Singapura kerana dipercayai terlibat dalam dua pembunuhan di republik itu baru-baru ini, ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata suspek berusia 34 itu ditahan sepasukan polis di sebuah kawasan di Johor Bahru kira-kira 11 malam.

“PDRM akan menyerahkan suspek kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata warganegara Singapura itu dipercayai terlibat dalam dua pembunuhan berprofil tinggi pada Rabu lepas sebelum berjaya meloloskan diri ke negara ini melalui jalan darat.

Menurut laporan SPF kepada PDRM, katanya suspek dipercayai masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Malaysia-Singapura di Woodlands dengan menaiki sebuah motosikal pada Rabu malam.

Hadi berkata SPF melalui unit khasnya yang memaklumkan kepada PDRM mengenai butiran suspek telah membawa kepada penangkapan lelaki itu.

“PDRM sentiasa membantu pasukan polis negara jiran yang memerlukan pertolongan untuk memberkas suspek yang dikehendaki di negara mereka.

“PDRM akan cuba mengesan dan menahan suspek berkenaan untuk diserahkan ke negara asal mereka. Kita tidak mahu penjenayah antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai sarang persembunyian,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean meminta polis negara itu mempergiat usaha dalam siasatan kes pembunuhan dua beranak di Kovan.

Menurut satu kenyataan, Teo yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kes pembunuhan itu adalah mengejutkan dan beliau bersimpati dengan keluarga mangsa.

Mayat Tan Boon Sin, 67, ditemui berhampiran Hillside Drive manakala mayat anaknya, Tan Chee Heong, 42, di luar stesen MRT Kovan.

Sementara itu di SINGAPURA, SPF dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada PDRM atas kerjasama dan bantuan diberikan dalam penahanan suspek itu. – BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger