Label 10

Home » , » Mat Sabu Bukan Pengikut Syiah - Pemimpin Pas

Mat Sabu Bukan Pengikut Syiah - Pemimpin Pas

Written By AAKJ on Tuesday, July 30, 2013 | 12:23 PM



Pas hari ini menjelaskan bahawa sehingga kini tiada bukti yang boleh mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar sebagai pengikut Syiah.

''Sehingga kini tiada bukti mereka menganut Syiah sebagaimana yang dituduh,'' kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, Tuan Ibrahim menegaskan semua ahli Pas mesti berpegang dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

''Jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka secara automatik terkeluar daripada menjadi ahli Pas,'' katanya lagi.

Di dalam kenyataan tersebut, beliau turut menafikan penglibatan pimpinan utama Pas terlibat dengan ajaran Syiah.

Oleh itu katanya, Pas mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan bayangan sebaliknya.

''Tindakan tersebut lebih bersifat politik dengan menghalalkan tuduhan tanpa bukti kukuh dan hanya bersandar kepada andaian semata mata,'' ujarnya.

Kata beliau lagi, tindakan beberapa pimpinan parti yang mempunyai hubungan peribadi dengan pimpinan Iran atau gerakan Islam Asia Barat seperti Hizbullah bukan bermakna mereka pengikut Syiah.

''Jika begitu, bagaimana pula dengan mereka dan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan Zionis Yahudi?'' soalnya.

Dalam kenyataan sama beliau berkata, Pas menentang sebarang usaha untuk membawa fahaman Syiah ke negara ini kerana boleh menimbulkan pelbagai polemik dan pertembungan masyarakat, sekali gus mendedahkan negara kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

''Pas juga ada sistem pemantauan dalaman yang sentiasa aktif bagi memastikan seluruh ahli parti tidak melanggar syarat tersebut dan kita mengalu-alukan sebarang bukti yang melibatkan ahli dapat dikemukakan kepada jawatankuasa disiplin parti,'' katanya lagi.

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger