Label 10

Home » , » SPRM Nafi Henti Siasat Taib Mahmud, 400 Fail Telah Disemak

SPRM Nafi Henti Siasat Taib Mahmud, 400 Fail Telah Disemak

Written By AAKJ on Saturday, June 29, 2013 | 7:00 PM

SPRM Nafi Henti Siasat Taib Mahmud

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa SPRM tidak pernah berhenti daripada menjalankan siasatan berkenaan kes Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Pendirian SPRM dalam menjalankan semua siasatan termasuk kes ini adalah jelas, dan berasaskan keterangan dan bukti. Langkah diambil adalah tanpa ‘fear and favour’, dan secara bebas, telus dan profesional.
Malah, SPRM telah mendapat kerjasama daripada semua individu yang telah diambil keterangan.
Soal Tan Sri Taib Mahmud tidak bekerjasama tidak timbul. Ini kerana beliau sendiri telah menafikan [RUJUK KENYATAAN MEDIA 13 APRIL 2013] ada mengatakan yang SPRM ‘naugty and dishonest’, dan tidak akan bekerjasama.)
Dalam kes ini, seperti kes-kes lain, SPRM telah mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Di mana selepas video yang mengaitkan Tan Sri Taib Mahmud didedahkan menerusi YouTube, sepasukan 10 pegawai siasatan SPRM telah dibentuk bagi menjalankan siasatan.
Ia merupakan langkah tambahan kepada siasatan yang telah dijalankan sebelum ini.
Pasukan ini seterusnya telah mengambil keterangan daripada lebih 20 individu yang dipercayai terlibat dan disebutkan dalam video berkenaan.
Sebagaimana dikatakan awal tadi, siasatan telah bermula sebelum video yang dimaksudkan didedahkan.
Setakat ini, SPRM telah menyemak sekitar 400 fail yang dapat membantu siasatan.
Suruhanjaya ingin menegaskan dalam menjalankan siasatan, kami sentiasa bertindak secara bebas dan mengikut peruntukan undang-undang.
SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan.
Pendirian SPRM adalah konsisten sepanjang masa.
Setiap siasatan dijalankan tanpa mengira latar belakang dan pangkat individu yang disiasat.
Malahan, sebagaimana kes-kes yang disiasat sebelum ini, termasuk ahli-ahli politik, SPRM tetap dengan pendirian tidak akan mendedahkan apa-apa butiran siasatan. Ia selaras dengan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 – yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan.
Ia hanya boleh didedahkan apabila kes dibawa ke mahkamah.
Untuk makluman, satu Pasukan Petugas Khas yang dianggotai SPRM, Jabatan Peguam Negara dan agensi-agensi lain telah ditubuhkan bagi membantu mempercepatkan siasatan berkenaan kes ini.
Sebaik sahaja siasatan selesai, laporan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan.
SPRM juga ingin menekankan, dalam keadaan di mana apabila siasatan telah selesai dan keputusan telah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Panel Penilaian Operasi (PPO) akan dimaklumkan tentang status kes. PPO adalah panel bebas yang berperanan melihat aspek ketelusan dan kebebasan SPRM dalam setiap tindakan siasatan yang dijalankan.
Panel ini dianggotai oleh individu pelbagai latar belakang profesional dan mereka dilantik mewakili masyarakat atas kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi membolehkan mereka memainkan peranan dengan berkesan.
Malahan SPRM juga sentiasa dipantau oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Ia dianggotai oleh wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari pelbagai parti politik. Ahli-ahli dalam JKMR ini terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional, DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tugas dan peranan JKMR ini adalah dalam memantau Suruhanjaya ini bagi memastikan perjalanan dan fungsi SPRM mengikut peruntukan yang diberikan.
Memandangkan kes ini melibatkan banyak dokumen dan banyak pihak, kemungkinan siasatan akan mengambil masa untuk diselesaikan.
SPRM ingin menegaskan siasatan akan berterusan bagi mengumpul bukti dan keterangan dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang ada.
SPRM berharap kenyataan ini akan memberi penjelasan kepada beberapa tuduhan yang mengatakan SPRM tidak menjalankan siasatan dan bersikap selektif. Justeru, kami berharap, tidak ada mana-mana pihak terus mempertikaikan profesionalisme SPRM dalam usaha memerangi jenayah rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 
29 Jun 2013
Putrajaya

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger