KLANG – Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) merampas sebanyak 96 peralatan komputer daripada sebuah premis di sini kerana beroperasi tanpa lesen baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, premis itu turut diserbu kerana menjalankan aktiviti karaoke dan snooker secara haram.
Beliau turut memaklumkan pusat siber haram itu dikategorikan sebagai premis `degil’ kerana masih beroperasi meskipun pernah dikenakan tindakan sebelum ini.
“Premis yang terletak di Jalan Young, Pandamaran Jaya itu bukan sahaja pernah dikompaun malah turut disita dalam beberapa operasi sebelum ini termasuk menjalankan aktiviti karaoke dan snooker secara haram,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut serbuan terbaru ke atas premis itu, Shahrul Hazri berkata, tindakan diambil hasil risikan dan maklumat orang awam.
Menurut beliau, serbuan dilakukan semasa beberapa pelanggan sedang leka bermain permainan disediakan di pusat siber berkenaan.
Beliau turut memaklumkan premis itu menjadi tumpuan remaja bawah umur menghabiskan masa bermain permainan online di internet terutama pada waktu malam.
Justeru, katanya, sebanyak 96 peralatan komputer disita di bawah dibawah Undang-Undang Kecil 28(1) Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Menurutnya,MPK akan memperhebatkan operasi seperti itu dari semasa ke semasa dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.
– mynewshub.my
Post a Comment