Label 10

Home » , , » Datuk Seri Idris Jusoh Akan Saman PKR

Datuk Seri Idris Jusoh Akan Saman PKR

Written By AAKJ on Friday, May 24, 2013 | 9:00 PM

Datuk Seri Idris Jusoh

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh akan menyaman PKR termasuk pengarah strategi parti itu Mohd Rafizi Ramli yang menyebarkan kenyataan berhubung 24 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikurung bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Saya sedang meneliti tuduhan mereka bersama peguam bagi memastikan tuduhan yang boleh merosakkan imej saya selaku Anggota Parlimen Besut itu tidak dicemarkan secara sesuka hati.

“Bila dibuat satu kenyataan awam tanpa bukti yang boleh mencemarkan nama baik saya dan parti, sudah pasti saya akan bertindak untuk menyaman mereka,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gong Nering, yang diadakan di Kampung Gong Guchil, Jerteh di sini hari ini.

Idris berkata, beliau tidak mengetahui dari sumber mana mereka memperoleh berita tersebut yang disebarkan di laman sosial Facebook dan Blog Keadilan dan didedahkan setiausaha agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail yang dipetik dari Keadilan Daily.

“Dakwaan itu tidak berasas kerana mana boleh petugas SPR dikurung… Mereka perlu bertanggungjawab atas setiap tuduhan yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap di majlis berkenaan, Idris berkata Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang untuk melaksanakan janji-janjinya yang dibuat melalui manifesto Pilihan Raya baru-baru ini dan berharap Pakatan Rakyat tidak terus merosakkan keamanan di negara ini hanya semata-mata untuk memenuhi cita-cita Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin pada PRU13 baru-baru ini BN kalah dari segi perang siber tetapi dalam menentukan pemerintah negara BN telah berjaya. Oleh itu sebarang keputusan patut dihormati semua pihak,” katanya.

Pada PRU13 lalu, Idris menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor dengan majoriti 8,342 undi.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger