Kebanyakan murid yang ditemui mengakui, mereka sudah tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan biar pun kawasan itu masih dikelilingi ratusan anggota keselamatan.
Bagi murid tahun enam SK Tanjung Labian, Andrian Musli, 12, perkara yang paling ditunggu-tunggu adalah untuk bertemu semula dengan rakan-rakan sekolahnya.
"Sejak berpindah ke pusat pemindahan sementara, saya tidak lagi berjumpa rakan-rakan sekolah. Saya tidak sabar untuk bertemu mereka semula apabila sekolah dibuka esok.
"Lagi pun kami akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya mahu kembali belajar bersungguh-sungguh,"
Adiknya, Asri Musli yang merupakan murid tahun tiga sekolah sama, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih kerana banyak peralatan sekolah telah rosak dan hilang akibat pencerobohan itu.
"Nasib baik baju sekolah dan buku-buku masih ada. Tidak sabar sebenarnya untuk kembali ke sekolah selepas lebih sebulan 'cuti panjang'," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Lok Buani, Saabi Hasim, 45, berkata, beliau bersyukur kerana tiada kerosakan berlaku di sekolah tersebut biar pun lebih sebulan ditinggalkan.
"Kami sedang dalam usaha memaklumkan kepada murid-murid dan ibu bapa mengenai pembukaan semula sekolah Isnin ini.
"Diharapkan kehadiran murid dapat mencapai 100 peratus walaupun kami sedar mungkin ada kesukaran kepada sesetengah mereka untuk hadir ke sekolah," katanya.
Saabi berkata, beliau juga berbangga dengan semangat ditunjukkan para guru di sekolah itu yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat.
Post a Comment