Awal pagi ini, seramai 20 orang penduduk kampung itu bersama Ketua Anak Negeri, Assaffal @ Samsul Kamal Panglima Alian dibawa meninjau keadaan rumah masing-masing.
Diiringi kawalan rapi pasukan keselamatan, kumpulan penduduk turut ditemani Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Bagi Ben Hamid Baharun, 48, tanpa disedari air matanya terus mengalir sebaik sahaja melihat rumah yang didiaminya selama ini musnah akibat perbuatan pengganas Kiram.
"Saya menangis apabila melihat rumah musnah terbakar dan segala kenangan suka duka di rumah ini sudah tiada lagi," katanya yang merupakan orang pertama keluar dari kampung itu ketika ditemui di penempatan sementara Dewan Embara Budi di sini hari ini.
Sementara itu, Siti Madina Baharun, 33, berkata, selain rumahnya yang mengalami kemusnahan, barangan di kedai miliknya juga habis disamun kumpulan pengganas tersebut.
"Biarpun rumah saya tidak mengalami kerosakan teruk, barangan berharga lain seperti televisyen dan set penjana elektrik serta barangan di kedai runcit habis licin," katanya.
Bagi Sahirah Abu Samma, 33, dia begitu terkejut apabila melihat kawasan kampungnya yang mengalami banyak kerosakan.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, sejak meninggalkan rumahnya pada 4 Mac lalu dengan menumpang kenderaan jiran, hari ini merupakan detik bersejarah buatnya untuk melihat kembali rumahnya.
"Syukur kerana rumah tidak mengalami banyak kerosakan, tetapi barangan seperti enjin bot, tilam, katil dan barangan makanan sudah tiada lagi," katanya.
Post a Comment