JAM menunjukkan tepat pukul 9 pagi.
Dari luar kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya mula meriah dengan kehadiran bas pelancong dan para pelawat yang ingin meninjau keindahan kompleks tersebut.
Untuk rekod, Seri Perdana dibina pada 1997 di atas tapak seluas 42.5 ekar mengikut kontur anak bukit dengan mengekalkan struktur geografi alam semula jadi selaras dengan konsep perancangan Putrajaya sebagai sebuah Bandaraya Taman.
Setibanya di sana, Mynewshub.my dibawa terus ke bangunan yang menempatkan kediaman peribadi Najib dan keluarganya itu yang terletak di bahagian belakang.
Kelihatan banyak kenderaan yang diparkir di kawasan rumah berkenaan, sekaligus menampakkan yang ‘tuan rumah’ tetap sibuk walaupun di waktu hujung minggu dan di luar waktu pejabat.
Lebih kurang 10 minit menunggu, keluarlah kelibat pemimpin nombor satu Malaysia itu dengan muka yang berseri-seri dalam keadaan yang cukup santai.
Najib memakai kemeja T biru muda dan seluar khakis berwarna biru gelap ketika menyambut ketibaan kami.
Beliau kemudiannya dengan ceria bersalaman dengan kami yang hadir.
Ternyata sikapnya yang peramah dan mudah mesra itu telah membuatkan kami semua ‘lega’, maklumlah bukan senang untuk berjumpa pemimpin nombor satu negara itu yang terkenal dengan dengan kesibukan dan kepadatan tugas harian mentadbir negara.
Untuk makluman, ada dua perkara yang menjadi rutin Najib di rumah walau sesibuk mana pun beliau dengan aktiviti hariannya.
Pertama memberi makan ikan di kolam kediaman rasminya itu, dan kedua membelai kucing-kucing baka Parsi kesayangannya iaitu Kiki dan anaknya, Tiger.
Sebenarnya, kucing betina Kiki dibeli bersama pasangannya, Leo oleh Najib kira-kira tiga tahun lalu di kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun Leo mati tidak lama selepas Tiger dilahirkan oleh ibunya, Kiki.
(Perdana Menteri bersama Kiki)
Sebaik saja dibawa ke pangkuan Najib oleh pembantunya, Kiki dan Tiger tidak melepaskan peluang ‘bermanja’ dengan tuan mereka.
Najib dilihat cukup menyayangi kedua-duanya, bahkan berkali-kali beliau memeluk dan mencium kedua-dua kucing berkenaan.
” Kucing ini sangat comel dan wangi…kedua-duanya dimandikan setiap hari ,” kata Najib kepada Mynewshub.my sambil membelai kucingnya yang kelihatan gebu dan bersih itu.
Telatah Najib dan kucing-kucingnya mengingatkan kami tentang tulisan pendakwah terkenal, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar mengenai haiwan tersebut.
Katanya, pemimpin Agung kita, Rasulullah SAW amat menyayangi kucing seperti mana diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dan Sunan At-tirmidzi. Nabi s.a.w. bersabda: “Kucing itu bukan najis, ia adalah binatang yg sering berdampingan dengan manusia.”
Baginda Rasulullah SAW menamakan kucing kesayangan peliharaan Baginda dengan nama Muizza.
Ibnu Umar ra pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak diberikan makan bahkan tidak dibenarkan makan binatang-binatang kecil yang ada di lantai,” (HR. Bukhari).
Berbalik kepada kisah Najib dan kucing-kucingnya itu, Perdana Menteri sebelum ini pernah menarik perhatian ramai apabila menulis mengalu-alukan rakyat yang mahu mencadang dan memberi nama bagi kucing-kucingnya itu.
“Saya dan keluarga saya dalam proses memilih nama baginya, tapi saya mengalu-alukan cadangan daripada anda,” kata Najib dalam laman blognya www.1malaysia.com.my dua tahun lalu.
Tambahnya, beliau pernah membela kucing sebagai binatang manjaan.
“Bila saya mengangkat si kecil ini, saya terus terpaut kepada makhluk yang sedap dipeluk ini.
“Saya pasti anak perempuan saya akan gembira bertemu dengannya bila pulang ke rumah nanti,” katanya tempoh hari.
Hasil daripada tulisannya itu, Najib menerima lebih 500 responden yang telah mencadangkan kepada beliau pelbagai nama untuk diberikan kepada kucing-kucing kesayangannya itu!
(Perdana Menteri bersama Tiger)
Kiki dan Tiger juga sangat jinak dan seolah-olah memberi ‘posing’ khas sewaktu lensaMynewshub.my ligat merakamkan aksi kedua-duanya.
Ternyata di sebalik kesibukan dan kengkangan tugas sebagai Perdana Menteri, Najib tidak pernah lupa membelai dan menyayangi haiwan yang juga kesayangan Rasulullah SAW itu.
Selama lebih sejam bersama Perdana Menteri secara eksklusif di kediamannya,Mynewshub.my dapat melihat ‘ di sisi lain’ Najib.
Jika kebiasaannya beliau dilihat sibuk mempengerusikan pelbagai mesyuarat yang melibatkan kepentingan dan agenda nasional, dilihat tegas bila memperkatakan isu Lahad Datu sebagai contoh, dilihat serius membuat persedian menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal menjelang tidak lama lagi, Najib masih mampu tersenyum dan ‘mencuri masa’ bermanja dengan Kiki dan Tigernya itu.
Itulah negarawan kita, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Post a Comment