KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menimbang untuk menyaman akhbar The Star berikutan laporan berunsur fitnah ‘isu khalwat’ yang dikenakan terhadap dua pasangan bukan Islam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata laporan yang mengatakan 'kes itu pertama kali seumpamanya berlaku di Malaysia' adalah fakta yang tidak tepat ekoran ia pernah berlaku sebelum ini, melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Justeru katanya, keputusan menyaman akhbar tersebut akan diambil setelah selesai perbincangan dengan pakar undang-undang, peguam serta pihak yang lain.
“Kami berpendapat liputan bermula daripada tajuk, liputan akhbar berkenaan yang menyentuh tangkapan khalwat terhadap orang bukan Islam itu suatu tindakan yang berbentuk fitnah,” ujarnya.
Takiyuddin menyebut, dakwaan laporan yang mengatakan kes itu yang pertama di negara ini amat tidak tepat kerana ianya telah berlaku di Kuala Lumpur.
“Kerajaan negeri sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang kerana mendakwa kerajaan negeri pertama kes berkenaan sebagai khalwat, walhal telah berlaku di DBKL.
“Itu baru dua kes dan kita sedang mengkaji lagi kes-kes lain sekiranya ada unsur-unsur fitnah oleh akhbar terbabit,” ujarnya selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Takiyuddin kemudiannya menekan kenyataannya sekali lagi, bahawa kes berkenaan bukan kes pertama di negara ini, sebaliknya DBKL telah berbuat tindakan yang sama terhadap pasangan bukan Islam yang melanggar undang-undang tersebut sejak tahun 2003 lagi.
“Memandangkan mereka enggan membayar kompaun akhirnya dibawa kes berkenaan ke Mahkamah Bandaraya Kuala Lumpur.
“Memandangkan pasangan berkenaan yang turut melakukan tidak sopan di khalayak umum itu enggan mengaku salah, kes tersebut dibawa ke Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.
Katanya, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Ahmad Fairus Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sheriff dan Datuk Richard Malanjut sebulat suara memutuskan DBKL ada hak untuk mendakwa pelajar terbabit.
“Jadi sama juga kesnya yang berlaku di Kelantan ini, mereka bukannya ditangkap khalwat, tetapi kerana telah melanggar Undang-Undang Kecil Taman yang telah diperkenalkan sejak tahun 1986,” ujarnya.
Post a Comment