Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pakatan pembangkang terhadap parti itu selama ini.
Bekas Presiden UMNO itu berkata, ucapan dasar yang disampaikan oleh Najib turut memperlihatkan semangat parti itu yang semakin kuat khususnya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.
"Saya fikir ucapan itu adalah bernas, baik dan meliputi semua perkara. Ucapan itu juga turut menjawab segala tohmahan yang dibuat parti lawan selama ini.
"Malah, saya lihat semangat UMNO hari ini begitu kuat sekali. Malah, saya nampak UMNO boleh bahkan lebih kuat dalam perhimpunan ini daripada biasa," katanya.
Mahathir berkata demikian sebagai mengulas ucapan dasar Najib selaku Presiden UMNO sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
- UTUSAN
Post a Comment