Menganalisa keadaan politik semasa memberi tanggapan awal akan berlaku
beberapa kemungkinan yang sudah dijangka. Kemungkinan paling kuat adalah
alasan yang akan diberikan Pakatan Rakyat andai pihak pembangkang tewas
dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti memandangkan sebilangan besar
pemimpin PR sendiri mengakui bahawa PR tidak mempunyai sokongan rakyat
cukup menghadapi PRU yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.
Pada ketika ini, PR mempunyai banyak kelebihan dari sudut isu kerana
sebagai pembangkang, pemimpin Pakatan boleh menghentam apa-apa sahaja
tanpa memikirkan kesan langsung atau tidak langsung terhadap kritikan
mereka. Malah dari sudut yang sama juga, pemimpin PR boleh memberikan
pelbagai persepsi negatif terhadap parti pemerintah, UMNO walaupun
selalunya isu yang dimainkan pemimpin pembangkang ternyata dangkal dan
jumud.
Dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, pemimpin pembangkang
perlu melakukan persiapan awal demi memastikan lonjakan kemenangan
berlaku. Namun persediaan itu tidak menjamin apa-apa andai sokongan
rakyat masih kurang kepada PR. Maka dalam memastikan sebarang
kemungkinan yang berlaku terutamanya jika Pakatan tewas, diwujudkan
beberapa gelombang persepsi sebagai alasan andai pembangkang tewas dalam
pilihanraya nanti demi menyalahkan pihak lain dan terus mengasak
UMNO-Barisan Nasional.
Pelan perancangan strategik pembangkang ini dimulakan dengan mewujudkan
desakan untuk Perdana Menteri membubarkan parlimen dan diadakan
pilihanraya umum secepat mungkin, seolah-olah pemimpin PR sudah tidak
sabar untuk menang bergaya dalam PRU itu nanti. Malah turut
dimomok-momokkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kini
sedang khuatir UMNO-BN bakal kalah dalam PRU akan datang walaupun
hakikatnya tiada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Realitinya, pemimpin PR sendiri gusar sedang andai PRU diadakan dalam
masa terdekat memandangkan sokongan rakyat kepada pihak pembangkang
masih rendah. Ditambah lagi pelbagai isu yang menghentam kembali Pakatan
mula timbul di saat semboyan PRU bakal ditiup pada bila-bila masa. Maka
kini pemimpin PR pula mula menerima tekanan akibat gelombang persepsi
yang mereka cipta sendiri. Malah kelihatan sokongan rakyat tidak begitu
menyebelahi mereka memandangkan rakyat sudah mula sedar bahawa
pembangkang tidak mampu menjadi kerajaan yang lebih baik daripada BN.
Dan lebih menarik desakan yang mereka cipta ini tidak mengoyahkan
kepimpinan UMNO-BN tidak mendatangkan impak yang besar.
Tanpa mengambil kira senario politik yang telah berubah, sebahagian
pemimpin PR pula masih terus berkhayal lagi seolah-olah mereka bakal
mengulangi sejarah yang sama seperti PRU yang lalu. Natijahnya
persediaan pihak pembangkang dalam menghadapi kemelut ini adalah fitnah,
hasutan dan penipuan dalam mengajak rakyat untuk menolak UMNO-BN secara
barbaric dan tidak bertamadun. Hal ini sudah semestinya merisaukan
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memandangkan Pakatan ternyata belum
bersedia menghadapi kemungkinan PRU dalam masa terdekat.
Maka diwujudkan pula gelombang persepsi kedua demi memastikan PR
mempunyai alasan yang “kukuh” seandainya Pakatan itu tunduk kepada
UMNO-BN dalam PRU nanti. Pemimpin-pemimpin PR tahu bahawa bukan mudah
untuk menewaskan UMNO-BN memandangkan kekuatan yang dimiliki gabungan
tiga parti terbesar dalam perikatan itu telah menerajui negara lebih 55
tahun. Justeru dihasut pula rakyat ke jalanan dengan alasan
memperjuangkan pula demokrasi yang bersih, adil dan saksama, walaupun
sudah diketahui agenda utama ke jalanan itu hanyalah untuk menjatuhkan
UMNO-BN dan menjulang kepemimpinan PR.
Maka diapi-apikan rakyat pula dengan isu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) sebagai alatan UMNO-BN untuk terus berkuasa demi mewujudkan
kemarahan dan kebencian rakyat kepada badan utama itu yang menentukan
hala tuju demokrasi negara. Dilabelkan SPR dengan pelbagai gelaran dan
diwujudkan persepsi bahawa pilihanraya umum di negara ini tidak bersih
dan adil.
Maka berpusu-pusulah penyokong Pakatan turun di jalanan
mengadakan demonstrasi membantah dan menuntut pilihanraya yang adil dan
saksama, seolah-olah selama ini PR tidak diberi ruang untuk memenangi
sebarang kerusi dan dinafikan hak mereka mentadbir lima negeri yang
telah mereka menangi dalam pilihanraya yang lalu.
Natijahnya, seandainya
pilihanraya yang diadakan di negara ini tidak bersih dan adil, mengapa
pula kepimpinan Pakatan masih berlumba-lumba untuk bertanding dalam
sebarang pilihanraya yang diadakan? Dan lebih baik pemimpin PR sendiri
memboikot sebarang pilihanraya yang diadakan untuk memberitahu kepada
rakyat dan dunia bahawa mereka tidak mahu bersubahat dengan sebarang
ketidakadilan yang berlaku. Smell fishy?
Sebenarnya SPR telah menjalankan tugas
mereka mengikut kehendak perlembagaan dan konsep keadilan. SPR tidak
layak dipersalahkan dan dikambinghitamkan dalam keadaan ini, apatah lagi
badan itu telah menjalankan kewajipan mereka sebagai badan pelaksana
pilihanraya yang adil dan telus. Seandainya SPR benar-benar tidak telus
seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, masakah PR mampu menawan lima
negeri dalam PRU yang lalu?
Selepas
gelombang pertama dan kedua, maka PR mewujudkan pula gelombang ketiga
yakni menimbulkan persepsi yang negatif terhadap parti lawan dengan
melemparkan pelbagai dakwaan dan tohmahan untuk memburuk-burukkan
UMNO-BN. Maka dicanangkan kepada dunia bahawa UMNO-BN sanggup
menggunakan taktik pengundi hantu, memberikan kerakyatan kepada
pendatang asing agar membolehkan pendatang asing ini mengundi UMNO-BN
dalam pilihanraya akan datang dan dituduh juga UMNO-BN merasuah
bakal-bakal pengundi.
Tuduhan-tuduhan
ini seharusnya dilemparkan kembali kepada Ketua Pembangkang
memandangkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ternyata lebih arif dalam
menggunakan taktik kotor sebegini untuk memenangi pilihanraya.
Malah
menurut beberapa sumber dalaman pembangkang sendiri mengakui bahawa
beberapa kemenangan Pakatan dalam pilihanraya umum lalu adalah dimenangi
dengan menggunakan taktik sebegini termasuklah kemenangan Wan Azizah,
isteri Anwar Ibrahim sendiri di Parlimen Permatang Pauh ketika menentang
Ustaz Firdaus Ismail dalam PRU adalah dengan cara menyeludup pengundi
luar kawasan untuk mengundi di Permatang Pauh. Sudah jelas hanya
pemimpin pembangkang sahaja yang mampu memikirkan taktik begini sehingga
membolehkan mereke merangka kemungkinan bahawa kepimpinan UMNO-BN akan
melakukan perkara yang sama.
Jika
dianalisa lebih dalam lagi, kemungkinan-kemungkinan begini bukanlah
sesuatu yang begitu janggal untuk dimainkan kepimpinan PR memandangkan
Anwar Ibrahim sendiri cukup cekap untuk menimbulkan persepsi negatif
terhadap lawannya. Malah selama 55 tahun mentadbir negara, UMNO-BN telah
mendapat sokongan yang begitu kuat daripada rakyat dan tidak memerlukan
taktik kotor seperti yang dicanangkan pembangkang untuk memenangi
pilihanraya, tetapi dalam masa beberapa tahun sahaja Anwar telah berjaya
membuat sebilangan kecil penyokongnya percaya bahawa kerajaan yang
dipimpin UMNO-BN telah berlaku zalim terhadap rakyat.
Dan
Anwar akan meneruskan beberapa lagi gelombang persepsi negatif yang
bakal mengheret sama badan kehakiman dan polis. Walaupun tempias yang
bakal diterima dua badan ini tidaklah sehebat tohmahan yang akan
dilemparkan kepada Perdana Menteri, SPR dan UMNO-BN, namun impaknya
tetap terasa memandangkan sebilangan kecil penyokongnya kini menafikan
peranan yang dimainkan dua badan itu dalam menegakkan keadilan
undang-undang di negara ini.
Malah
kepimpinan PR akan terus memomok-momokkan bahawa dua badan ini telah
dikawal sepenuhnya oleh UMNO-BN dalam memastikan rakyat memberontak dan
bakal mengadakan rusuhan seandainya PR tewas dalam PRU akan datang.
Tujuan PR bulat – mahu menawan Putrajaya dengan apa-apa cara sekalipun
hatta meletakkan undang-undang di bawah tapak kaki.
Sebenarnya
kepimpinan PR semakin tersepit dengan kemungkinan bakal tewas besar
dalam PRU yang akan datang, memandangkan sokongan rakyat kepada Pakatan
semakin menurun dari semasa ke semasa. Malah manifesto-manifesto yang
dibentangkan PR ternyata tidak ampuh dan gagal ditunaikan oleh Pakatan
itu menyebabkan rakyat menolak PR sebagai sebuah gabungan parti politik
yang diyakini. Alasan-alasan yang diberikan PR andai tewas dalam PRU
nanti pasti akan menyalahkan pihak lain. Namun percayalah, rakyat sudah
bijak menilai dan PR bakal berkubur kerana kegagalan kepimpinan mereka
sendiri!
Post a Comment