Menilai Adab dan Akhlak Popularis Agama
Adab dan
akhlak adalah penarik kepada dakwah Islamiyyah. Sejarah membuktikan, selain
dari kebenaran Islam, akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW
merupakan pemangkin kepada penyebaran ugama Islam. Akhlak yang mulia inilah
juga menyebabkan bangsa-bangsa lain selain dari bangsa Arab memeluk ugama
Islam. Ini terbukti dengan Islamnya umat Melayu di rantau sebelah sini di
tangan ulama'-ulama' dan juga pedagang-pedagang dari Tanah Yaman dan juga benua
kecil India.
Adab dan
akhlak yang keji menjauhkan manusia dari dinul Islam. Bukan setakat menjauhkan,
tetapi membawa fitnah pula kepada agama itu sendiri. Guru-guru agung Islam
menggagaskan ilmu yang tinggi membentuk akhlak yang mulia. Umpama resam padi,
makin berisi sepatutnya semakin tunduk jadinya, bukan seperti resam
anjing, makin kecil kerdil saiz tubuhnya tetapi makin garang dan makin kuatlah
salakannya. Bagi popularis agama, contoh dan teladan guru-guru agung samada
warisan Islam mahupun Barat tidak dijadikan amalan.
Adab
dengan Dalil Al Quran dan Sunnah
Dalam
ilmu Islam, Al Quran dan Sunnah merupakan asas kepada semua hukum agama. Tidak
ada alasan ataupun pegangan yang boleh menafikan dua sumber ini. Perkara ini
amatlah dipegang oleh ulama'-ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah rujukan
kita zaman-berzaman. Tradisi Barat menganugerahkan ijazah kedoktoran sebagai
satu pengiktirafan kepada pemegangnya untuk menyelidik dan membahas ilmu secara
rasional mengikut struktur dan kaedah ilmu dalam bidang masing-masing. Namun,
ia bukanlah satu lesen untuk membolehkan seseorang itu menganggap dirinya sahih
malah lebih sahih dari Al-Quran dan Sunnah.
Adab ini
sengaja tidak difahami oleh golongan popularis agama. Jikalau ada perbahasan
berkaitan ilmu Islam terutamanya dalam bab muamalat sesama manusia yang mereka
berkepentingan, maka ditolaklah Al-Quran dan Hadith serta dinaikkan garapan
idea mereka, dan falsafah-falsafah reformis kristian melawan garis panduan ilmu
agama Islam. Dengan itu, pengikut-pengikut mereka terkeliru dengan gagasan awal
mereka yang pada mulanya kononnya berdasarkan jejak salafussoleh. Ini kerana
apa yang didengar oleh pengikut mereka sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh
nafsu mereka dan bukannya berdasarkan nas yang sahih.Popularis agama malah
melabel mereka-mereka yang tetap istiqomah berpegang kepada Quran dan Sunnah
dengan pelbagai label pula seperti literalis dan jumud malah sentiasa berusaha
mengadu dombakan golongan ini dengan para ilmuwan agama yang berlainan aliran
agar si popularis dapat menangguk populariti di air yang keruh.
Ciri ini
bersesuaian dengan sifat mana-mana ajaran salah dan sesat. Isu dan polemik
ditimbulkan awalnya oleh pemuka ajaran sesat adalah berdasarkan kepada satu
fakta kebenaran untuk menarik perhatian bakal-bakal pengikut dan peminat.
Namun, selepas mencapai matlamat mereka, pemukanya mulalah menyimpang dari
Al-Quran dan Sunnah serta jejak salafussoleh kepada mendewakan diri mereka
tanpa diri mereka boleh dikritik dari sudut keilmuan yang sahih.
Adab
dengan Ulama
Popularis
agama mempunyai sifat yang aneh. Di dalam Al-Quran, telah disebutkan bahawa
orang mukmin itu sewajarnya bersifat lemah-lembut sesama mukmin. Popularis
agama walaupun mengaku mengikut seruan salafussoleh, tetapi mereka tidak
segan-silu mengkritik ulama-ulama gerakan ini tanpa menyelidiki hujah dan nas
yang menjadi asas kepada terbitnya suatu hukum sesuai dengan keadaan
sosio-budaya negara ulama terbabit. Contohnya, popularis agama mengeji pendapat
ulama Saudi yang mengharamkan wanita memandu. Ya, tidak salah untuk mengkritik
tetapi sebagai seorang yang memakai baju
akademik, pendapat tersebut sepatutnya difahami asbabnya dan kemudiannya
dicabar dengan nas dan hujah bukannya dikeji dan dijadikan bahan ketawa.
Popularis
agama kononnya tidak bersetuju pendapat ulama Saudi atas hak asasi dan juga
mahu keluar dari kejumudan. Tetapi, popularis agama tidak pula mengkritik
tindakan mundur United Kingdom sebuah negara bukan Islam, yang masih mengenakan
lesen terhadap pemilikan televisyen dengan harga yang mahal dan mengenakan
denda berat terhadap mereka yang melanggar peraturan yang tidak munasabah di
era keterbukaan dan teknologi maklumat ini. Ketakutan bagi mereka yang
menyimpan TV secara haram di UK lebih kurang sama sahaja dengan ketakutan
bagi orang yang menyimpan radio di zaman penjajahan Jepun. Tidak pula mereka
mengkritik tindakan kuno kerajaan Britain apabila mereka berada di bumi UK
tersebut,jauh sekali memuji keterbukaan penguasa negara kita dan negara Islam
yang lain dalam hal penyebaran maklumat. Sifat mengampu mereka juga amat jelek
sekali. Mereka tergamak mengampu kerabat diraja Bristish tetapi mencemuh dan
mencerca sultan sendiri tanpa malu, bagi memenuhi selera pengikut-pengikut
popularis yang gemar mahu pandangan yang mengikut hawa nafsu politik mereka. Juteru,
sebenarnya, kritikan mereka bukanlah berpunca daripada keikhlasan popularis
agama dalam memperjuangkan hak bersuara tetapi hanya sekadar memperlekehkan
segolongan ulama tertentu untuk membolehkan mereka menyuntik agenda popularis
mereka untuk menyimpangkan pengikut mereka daripada jalan Al-Quran dan Sunnah.
Begitu
juga adab dan akhlak mereka dengan ulama yang tidak sealiran. Kadangkala
kebiadapan mereka berhujah dengan ulama terutamanya bertaraf senior menyebabkan
ulama berkenaan jauh hati dan mencari punca asbab kebiadapan popularis agama.
Lalu, ideologi dan guru-guru agung gerakan salafussoleh seperti Ibn Taymiyyah,
Ibnul Qayyim dan Muhammad ibn AbdulWahhab yang terkena getahnya kerana disangka
aliran inilah yang menerbitkan akhlak yang rendah. Maka, terselamatlah
popularis agama dan malanglah bagi gerakan salafussoleh gerangan bantahan dari
ulama-ulama yang tidak sealiran. Benar, barangkali popularis agama mempunyai
hujah yang lebih dekat dengan kebenaran dalam isu tertentu, tetapi bukankah
dengan akhlak yang mulia, suasana harmonis boleh tercipta. Sedangkan Nabi Musa
pun berdakwah kepada Firaun dengan lemah-lembut dan akhlak yang mulia, inikan
pula dengan ulama-ulama tidak sealiran yang lebih senior dan berusia?
Akhlak di
Media Sosial
Kebebasan
bersuara dan mengkritik selalu dilaungkan. Namun, hakikatnya, ini hanyalah
bersifat propaganda sahaja. Popularis agama tidak berani berforum dan berdebat
di hadapan khalayak yang bukan penyokongnya. Tetapi, kononnya mencabar mereka
yang tidak sealiran dengan mereka untuk berforum atau berdebat di hadapan
audiens, moderator dan tajuk yang ditentukan oleh mereka sendiri. Tindakan ini
tentulah tidak wajar. Kebenaran tidak akan tumpas walaupun di hadapan majoriti
yang menentang sebesar mana sekalipun. Mereka hanya mahu popular tanpa
mempedulikan kebenaran. Jika tersebar pendapat yang tidak bersetuju dengan
pandangan mereka, ini akan menjatuhkan persepsi penyokong mereka bahawa
pendapat popularis agama adalah pendapat yang tidak boleh dicabar kesahihannya.
Justeru mereka memilih untuk mencabar orang lain berdebat hanya di medan yang
mereka yakini boleh memenangi sorakan dan bukan menegakkan kebenaran.
Popularis
agama hanya mampu berkomunikasi satu hala. Jika pandangan berbeza disuarakan di
dinding media sosial mereka, popularis agama tidak segan untuk menyekat
suara tersebut atas dasar tuan rumah sepatutnya dihormati dan menghalau unsur
tidak baik kononnya. Tetapi, apabila berhadapan dengan pemerintah, mereka
menyokong pula demonstrasi yang tentu menyusahkan rakyat untuk bergerak,
membeli-belah dan mengunjungi majlis-majlis kenduri-kendara. Ini semata-mata
untuk membolehkan mereka kekal untuk popular di kalangan golongan tertentu agar
terus diangkat sebagai ulama berjiwa rakyat. Tetapi, cubalah rakyat yang sama
mendemonstrasikan rasa tidak setuju dengan pendapat mereka, tentu sekali akan
disekat-sekat dan dibentak-bentak oleh golongan popularis agama ini.
Kesimpulan
Popularis
agama bukanlah mereka yang berani berhujah dalam suasana yang adil dan saksama.
Sifat ini walaupun sering mereka laungkan untuk orang lain terutamanya kaum
pemerintah, tetapi gagal dipraktikkan oleh mereka di alam realiti. Mereka boleh
mencandui pengikut dan penyokong mereka, tetapi bagi yang lain, mereka ini
tidaklah lebih dari hanya sang badut agama.
Akhlak
mereka menyebabkan mereka yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah dicemuh dan dicaci serta
nama-nama ulama terdahulu terkesan dari perbuatan mereka. Pembersihan jiwa dan
metod mengikut jalan para sahabat, dan ulama terkemudiannya adalah ubat kepada
masalah moral popularis agama yang semakin kronik dan parah.
DR ABU UZMA ABDUL RAHMAN
Post a Comment