Label 10

Home » » BAJET 2013 !! BUKU BAJET PAKATAN HARAM PENUH DALAM TONG SAMPAH !!? FOTO !

BAJET 2013 !! BUKU BAJET PAKATAN HARAM PENUH DALAM TONG SAMPAH !!? FOTO !

Written By AAKJ on Friday, September 28, 2012 | 7:31 PM


alt


Tuan Yang di-Pertua,
Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Tren ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit.

Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

Menggalak Pelaburan Domestik

Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.

Mempergiat Perusahaan Kecil Dan Sederhana

Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.

Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk enam Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.

Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport,  SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit membiayai modal kerja PKS terlibat.

Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.

Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.

Malaysia Sebagai Hab Minyak Dan Gas

Tuan Yang di-Pertua,

Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar,  kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.

Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.


Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.

Merancak Sektor Pelancongan

Tuan Yang di-Pertua,

Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/ 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

Meningkat Aktiviti Pertanian

Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit.   Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.

Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan

Tuan Yang di-Pertua,

Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.

Membela Nasib Petani Dan Nelayan

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.


Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.

Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.

Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.
Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

Mencergaskan Pasaran Modal Dan Kewangan

Tuan Yang di-Pertua,

Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.

Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.

Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.

Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.  

Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)

Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).

Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.

Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit.

Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.

Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.

Wakaf Korporat

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah JAWHAR akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia.

Pembangunan Usahawan Bumiputera

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.

Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada masyarakat India.

Tuan Yang di-Pertua,
Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah.
Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.

Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit.
Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.

Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun.
Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.  Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.

Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM.
Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan.
Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.

Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.

Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera yang merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.

Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan.
Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013.
Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua.
Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih.
Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.

Tuan Yang di-Pertua

Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran
Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama:     Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan

Kedua:    Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.
 
Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.

Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:

Pertama:    Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan

Kedua:    Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.  

Mempergiat Pelaburan Modal Teroka Oleh Pelabur Individu

Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad.
Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka.
Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

Menyemarak Inovasi Inklusif

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat.
Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pembangunan Teknologi Hijau

Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus.
Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.

aakj ; SEBAHAGIAN DARI PEMBENTANGAN...selebihnya baca d KLPOS



Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger