Bapa suspek
PUTRAJAYA: Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki semalam, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara dekat sini, dua hari lepas.
Bapa suspek seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
Katanya setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya sudah berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka.
"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku. Kehidupan anak saya normal sahaja. Mungkin kerana dia suka melayan internet. Sekolah tinggi tetapi jadi macam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.
"Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu tentang kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya setelah mendail nombor telefon bimbit anaknya itu.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, suspek, berusia lewat dua puluhan, berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ditembak di paha kanan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala lelaki bersamanya Khalil Afandi, 47, yang terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital sama
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ibu suspek berusia 55 tahun ketika ditemui di perkarangan hospital itu berkata: "Makcik terkejut. Makcik tak tahu nak cakap apa. Makcik sedih sangat".
Beliau berkata suspek tinggal di Klang.
Tinjauan di wad pengasingan Hospital Putrajaya mendapati suspek yang berskaf hitam sedang berbaring di katil dan dikawal dua anggota polis wanita.
Sementara itu suami suspek yang juga pemandu lori mendakwa isterinya terpengaruh dengan laman blog lelaki itu dan beberapa hari sebelum kejadian isterinya berperangai pelik dan dilihat taksub dengan Imam Mahadi. - Bernama
+ comments + 4 comments
Owhh.. mungkin perempuan ni lah yg rajin komen kat blog 'jaya negara ' tu.. pakai nama 'gila manusia ' atau dhada...!
Tu lah gayanya. Dah belajar tinggi-tinggi pun masih binggung dalam agama. Perrrgh.
budaya deme... bini mu.. bini ku...
ermmmm akibat nafsu menggila...laki dia mana terajang sepak je lps tu bg talak 3 dok simpan wtpe lg oiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii
Post a Comment