Label 10

Home » » KONVENSYEN PEMIKIR MUDA !! TAK WAJAR KATA KERAJAAN BN TIDAK BETUL - PM !!

KONVENSYEN PEMIKIR MUDA !! TAK WAJAR KATA KERAJAAN BN TIDAK BETUL - PM !!

Written By AAKJ on Sunday, July 8, 2012 | 11:00 AM


Najib


SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, generasi muda patut menilai pencapaian kerajaan dari semua sudut dan bukannya berdasarkan persepsi dan retorik politik.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam agar tahu membezakan persepsi yang sengaja dilontarkan oleh pihak tertentu, terutamanya menerusi internet dan media sosial yang tidak berasaskan kebenaran.

"Inilah generasi yang patut boleh menilai ini semua... bukan soal persepsi. Jangan fikirkan semata-mata kita ni kerajaan, kita tak betul.
"Kalau kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang tidak betul, Malaysia tidak akan membangun seperti hari ini dan Insya-ALLAH dalam beberapa tahun lagi, Malaysia akan mencapai status negara maju," kata Najib.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Pemikir Muda Malaysia anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia (PPM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Institut Penyelidikan  Pembangunan Belia Malaysia an Universiti Teknologi Mara di sini.

Najib berkata tidak semua negara mempunyai perancangan terperinci seperti yang dilakukan Malaysia untuk mencapai status negara maju kerana kerajaan berkemampuan untuk memimpin negara dalam melakukan  transformasi yang besar.

Hakikatnya, kata Perdana Menteri, Malaysia bukanlah kisah sebuah negara yang gagal dan kalau disingkap kembali detik perjalanan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan sekarang selama 55 tahun, banyak kejayaan yang  telahpun dilakar sehingga negara ini boleh ditakrifkan sebagai kisah sebuah negara yang berjaya.
Beliau berkata,kebanyakan orang muda mengutamakan apa yang terjadi hari ini dan masa akan datang tetapi hakikatnya jika mereka tiada perspektif sejarah, maka mereka akan kehilangan punca kerana tidak mengetahui dari mana mereka datang atau asal-usul masing-masing.
Justeru, kata beliau, ada generasi muda yang tidak tahu jerih payah dan kesusahan serta pengorbanan pemimpin terdahulu untuk mewariskan kepada mereka sebuah negara yang jauh lebih baik.
"Sebab itulah sebagai generasi muda, kita tidak boleh merupakan generasi yang buta sejarah dan kita tidak boleh merupakan generasi yang tidak menghargai perjuangan generasi terdahulu daripada kita," katanya.

Perdana Menteri berkata, generasi muda yang mempunyai perspektif sejarah adalah generasi yang tahu mengenang budi dan bukannya hanya hidup dalam kenangan sejarah, sebaliknya memiliki lebih iltizam dan lebih bertekad untuk membawa negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.
"Inilah namanya generasi muda yang kita boleh meletakkan harapan. Ini namanya kita sebagai generasi muda mempunyai kemampuan untuk menyumbang, untuk berfikir yang disebut tadi secara kritis, secara inovatif, secara  kreatif," katanya.
Sebagai pemimpin, Najib berkata menyediakan peluang pendidikan untuk generasi muda memiliki kelulusan akademik sahaja tidak memadai kerana mereka perlu diberi persediaan menghadapi cabaran abad ke-21, antaranya  serangan ke atas pemimpin yang kini bertukar dalam bentuk media sosial daripada surat layang pada masa dahulu.
"Mereka perlu diberi kemahiran berfikir secara mendalam supaya tidak menerima bulat-bulat apa yang disiarkan dalam media sosial.
"Kita tidak mahu pemimpin yang pandai berlakon. Kita tak mahu pemimpin yang pandai dengan muka-muka cakap 'oratory skill' (kebolehan berpidato) tapi tidak ada kebenaran," katanya

"Kita tak mahu pemimpin menyerang pemimpin lain tapi bila sampai diri sendiri tidak berani bersumpah kononnya konspirasi politik, segala-galanya konspirasi politik tapi tak sanggup mempertahankan diri sendiri dengan fakta,"
kata Najib.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) menekankan keperluan membuat perubahan besar yang sebenar daripada semata-mata retorik politik.

Perubahan sebenar juga tidak akan berlaku menerusi demonstrasi jalanan yang tidak menentu dengan sesetengah pesertanya melonjak-lonjak umpama kera kena belacan dan menendang anggota polis yang terbaring,  katanya.
Demonstrasi jalanan bukan memantapkan demokrasi, sebaliknya Najib menyifatkannya sebagai 'democrazy' kerana menimbulkan huru-hara yang tidak menguntungkan dan merosakkan Malaysia.
"Huru-hara dalam negara kita tidak menguntungkan sesiapa tapi kalau tak bersetuju suarakan dengan cara baik dan bersopan," katanya.

Najib berkata rakyat Malaysia, termasuk generasi muda, perlu melakukan yang terbaik untuk negara dan pada masa yang sama, kerajaan menyalurkan bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan beberapa lagi program anak muda yang akan diumumkan nanti.
"Ada cadangan tak lama lagi saya akan lancarkan kedai buku 1Malaysia jual buku lebih murah daripada kedai lain untuk generasi muda supaya dia rajin membaca.
Lepas tu kita nak buat kedai kain 1Malaysia lagi murah," kata beliau.
Pada minggu hadapan pula, kerajaan akan memperkenalkan program anak muda yang berasaskan semangat kesukarelawan dipanggil IMOU di Kuala lumpur City Centre bagi menjuruskan anak muda kepada kegiatan  membantu proses pembinaan dan transformasi negara, katanya.

Najib berkata golongan muda yang menghadapi masalah seperti Mat Rempit tidak dipinggirkan apabila kerajaan turut melaksanakan program pemulihan golongan ini dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah naungan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau menggesa golongan muda supaya mencari kemahiran dan turut mengambil maklum bahawa ada dalam kalangan mereka yang meraih pendapatan RM3,000 sebulan dengan menjual kek cawan.

"Cup cakes (kek cawan) bukan susah sangat, saya boleh buat tapi tak ada masa dah jadi Perdana Menteri," katanya.
Pada majlis itu, Najib berkata beliau akan membantu PPM turun ke negeri sebagai rakan kongsi kerajaan untuk menjayakan program transformasi negara, terutamanya bagi golongan muda.
Konvensyen sehari ini mengumpulkan 5,000 generasi muda berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun daripada 22 latar belakang kerjaya termasuk doktor, peguam, polis hingga ke pemandu teksi muda bagi memikirkan serta mengemukakan cadangan daripada profesion masing-masing untuk perhatian kerajaan.- Bernama

Disebelah malamnya, Majlis Makan Malam Sempena Konvensyen Pemikir Muda Malaysia telah disempurnakan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri YAB Perdana Menteri Malaysia 7 Julai ni 930 mlm di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam. 


Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggesa golongan muda menggunakan saluran betul untuk meluahkan idea dan pandangan bagi membolehkan kerajaan membantu mereka.

Ketika menutup Konvensyen Pemikir Muda Malaysia di sini Sabtu malam, beliau berkata mereka boleh menggunakan saluran seperti konvensyen itu untuk melontar pendapat dan meluah perasaan supaya pembaharuan dapat dilakukan bersesuaian dengan kehendak mereka.

"Para belia seharusnya diberi pujian kerana menggunakan saluran betul seperti konvensyen ini untuk menyalurkan pandangan," katanya.

Konvensyen itu dianjurkan Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Dalam pada itu, Rosmah berkata golongan muda perlu berusaha untuk memiliki ilmu dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata mereka bukan sahaja perlu berjaya daripada segi akademik, bijak dan berinovasi malah perlu memiliki martabat diri dan nilai moral yang tinggi.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger