Kalangan penceramah juga bukan semua adalah pendakwah, begitu juga sebaliknya. Seorang pendakwah berkredibiliti adalah berpengetahuan, berpengalaman dan diiktiraf kebolehannya pihak berkuasa agama.
Mengikut Dr Yusof al-Qardawi, matlamat berdakwah adalah membawa manusia kepada Islam, dalam melaksanakan ketetapan dan taat ALLAH SWT di muka bumi dan mengajak kepada kebajikan dan kebaikan. Oleh itu, seseorang pendakwah mestilah ilmuwan agama, cekap dan bertauliah.
Hakikatnya dalam masyarakat hari ini, wujud pendakwah meragukan dari segi latar belakang dan ilmu mereka. Andainya selebriti berkongsi pengalaman kerana mahu mendalami agama atau didorong penghijrahan diri, ini dibolehkan. Namun tidak bermakna mereka sebagai pendakwah berwibawa.
Apabila ada pula ustaz bermain alat muzik dan menyanyi sepanjang berceramah tanpa isi yang jitu atau berseloroh hampir sepanjang ceramah bagaikan Maharaja Lawak. Ini juga mewujudkan suasana keliru.
Masyarakat lebih celaru jika penceramah yang tidak layak tetapi mempertikai keputusan Majlis Fatwa atau mengeluarkan fatwa songsang, misalnya menghalalkan perkara yang haram dan menyeru pengikut berbuat kerosakan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agaknya apa akan jadi pada akhir zaman apabila wanita mula bangkit memberontak, anak muda sudah hilang akhlak dan kamu pula rasa tidak perlu lagi untuk berjihad.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apa mungkin akan berlaku akhir zaman begini? Nabi berkata: “Ya, akan berlaku. Lagi dahsyat akan berlaku.”
Sahabat bertanya. “Apakah ada lagi yang lebih dahsyat daripada suasana wanita memberontak, anak remaja sudah hilang akhlak dan umat Islam tidak berminat lagi untuk berjuang?”
Nabi berkata, “Orang sudah tidak peduli lagi soal dakwah. Orang sudah tidak mengambil kira lagi untuk mengajak kepada kebaikan atau mencegah kepada kemungkaran.”
Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah mungkin keadaan ini akan berlaku?” Nabi SAW menjawab: “Yang lebih dahsyat lagi akan berlaku dari itu.’
Sahabat bertanya: “Apa yang lebih dahsyat?” Kata Nabi: “Apabila ada pendakwah yang keliru, tidak tahu membezakan mana yang baik, mana yang buruk. yang mungkar nampaknya makruf dan makruf seperti mungkar.”
Sahabat terkejut dan bertanya: “Ya Rasulullah, apa mungkin akan berlaku keadaan begitu?” “Ya, lebih buruk akan berlaku” kata Rasulullah, “apabila yang buruk disuruh, yang makruf dilarang, “ Apa mungkin berlaku, ya Rasulullah begini?
Kata Nabi SAW: “Inilah satu keadaan dugaan besar untuk umat Islam sehingga orang yang baik pun akan menjadi keliru.” Agama Islam dasarnya ilmu kefahaman dan keyakinan terhadapnya dibina daripada wahyu. Bukan boleh cakap sembarangan atau guna akal semata-mata.
Perlu ada kepakaran dalam mentafsir al- Quran, hadis dan falsafah hukum. Bukan sekadar memetik ayat tertentu untuk kepentingan tertentu. Ceramah agama bukan tempat mengumpat dan mengaibkan saudara seagama. Untuk memartabatkan profesion berdakwah, seseorang pendakwah mestilah berkredibiliti.
Di Malaysia, syarat untuk mengajar agama dan berdakwah mestilah memiliki tauliah. Inilah asas keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat sebuah panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, yang mengikat kepada semua mahkamah di negara ini, termasuk Mahkamah Syariah.
Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang Islam mengajar tanpa tauliah. Jika bersabit kesalahan, hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah adalah sah dan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
- Sinar
BACA SINI
Post a Comment