Kesulitan yang dihadapi oleh kira-kira 870 keluarga di Batang Kali yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini mendapat perhatian Kelab Putera 1Malaysia.
Hari ini kelab itu menghulurkan bantuan dapur memasak dan tilam kepada mangsa banjir tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan ini diharap dapat membantu mengurangkan beban mangsa banjir dalam menghadapi kehidupan seharian.
“Hari ini kita akan menyerahkan setiap keluarga satu dapur memasak dan dua biji tilam kepada semua mangsa banjir di sini. Kita tak mampu untuk membantu keseluruhannya, namun dengan usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu mangsa-mangsa banjir semua.
Pemberian bantuan itu diberi tanpa mengira agama, bangsa serta kaum serta ideologi politik bagi memastikan setiap rakyat mendapat manafaat yang sewajarnya daripada bantuan itu," ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika menyampaikan bantuan di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) Batang Kali, di sini hari ini.
Katanya, kawasan yang terlibat ialah Kampung Hulu Kalong, Kampung Genting Malik, Kampung Masjid, Kampung Sekolah, Kampung Tengah, Kampung Seri Cahaya, Kampung Sentosa, Kampung Sungai Masin, Kampung Kuantan, Kampung Batu 30, Kampung Hulu Yam Bharu, Lorong Haji Nordin dan Kuarters Pusat Haiwan.
Post a Comment