Najib beri bayangan PRU-13 semakin hampir
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) malam ini terus memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, dalam perjumpaan selama kira-kira dua jam itu, Perdana Menteri menekankan kepada pentingnya persediaan semua pihak sama ada di peringkat nasional atau negeri.
Selain itu, katanya, Najib turut menekankan kepada pentingnya kesetiaan kepada parti dalam berhadapan PRU akan datang.
"Bayangan pilihan raya, Perdana Menteri berkata ia mungkin selepas satu lawatan (ke Sabah) lagi atau tiada lawatan (ke Sabah) lagi, jadi ia bermaksud sangat dekat," katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama pemimpin BN Sabah di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok;
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, isyarat yang diberi Perdana Menteri begitu jelas apabila menekankan pentingnya memastikan pemilihan calon boleh menang.
Katanya, Najib mengingatkan supaya semua pihak terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih tanpa sebarang kompromi.
tq-utusan
Post a Comment